fbpx

CKJ CATUR STRATEGI KEMBALI DOMINASI KATEGORI CP125


Keputusan yang kurang memuaskan di pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bulan lalu sedikit sebanyak akan memberikan impak positif terhadap usaha pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing untuk mempertahankan gelaran Juara keseluruhan kategori CP125. Namun begitu, pasukan yang berasal dr Terengganu itu yakin bahawa data yang dikumpul dari pusingan pertama akan digunakan sepenuhnya untuk mencatur strategi kembali ke podium CP125.

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing menurunkan tiga pelumba untuk kategori baharu CP125 – Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff, Saiful Azhary Muhamad dan Awal M Al Fikri Yusni. Antara mereka, catatan masa Ahmad Syukran Aizat selaku Juara CP115 musim 2019 menjadi penanda aras persediaan pasukan CKJ menghadapi cabaran kategori CP125.

Di pusingan pertama, catatan masa Ahmad Syukran kurang menyerlah, ketinggalan lebih kurang dua saat dari jentera terpantas dalam sesi latihan dan kelayakan.

“Pada pusingan satu di Sepang bulan lalu, jentera kami masih berada di peringkat penyelidikan dan pembangunan. Kami kekurangan beberapa data penting yang diperlukan untuk mencapai tahap maksima di litar besar seperti Sepang,” jelas Amer Saad, pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Meskipun demikian, Syukran masih berjaya memulakan perlumbaan CP125 dari barisan ke-tiga dan menyertai kelompok pertama dalam dua lap terawal. Malang sekali, pelumba berusia 23 tahun itu terjatuh pada lap ke-3 dan tidak dapat meneruskan perlumbaan.

“Walaupun keputusan dari Pusingan 1 kurang menyerlah, tetapi data yang dikumpul dari perlumbaan tersebut begitu berharga untuk percaturan strategi seterusnya. Untuk perlumbaan pusingan kedua di Litar Tangkak bulan ini, kami akan membuat perubahan dari segi gearbox, ekzos dan suspension supaya lebih kompetitif.”

Pusingan ke-dua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Litar Tangkak pada 22 dan 23hb Ogos ini.

, , ,