Bakat pelumba berusia 18 tahun, Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi, akhirnya menyerlah setelah dua tahun berusaha meningkatkan skil perlumbaan dalam kategori CP115.
Pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang tempoh hari, Syafieq Aiman membuka mata ramai pihak dengan persembahan yang rapi dan matang.
Bermula di barisan kedua, pelumba ONEXOX SAG Team itu terus menyertai kelompok pertama sebaik perlumbaan sepanjang lapan pusingan dimulakan. Gabungan pelumba-pelumba Komanz Kru yang terdiri daripada Syafieq Aiman, Mohd Shafiq Rasol, Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Faiz Zekri Sabri, sukar digugat pelumba-pelumba lain.
“Pada pusingan-pusingan awal, saya hanya fokus kekal dalam kelompok hadapan,” jelas pelumba yang berasal dari Johor itu.
Syafieq mula mencatur strategi memimpin kelompok utama bermula pusingan ke-6. Dikerumuni rakan-rakan sepasukannya yang masing-masing mengidamkan podium kemenangan pertama musim 2020, Syafieq mampu mempertahankan kedudukan di tempat pertama sehingga ke garisan penamat.
“Musim 2020 ini adalah tahun ketiga saya menyertai kelas CP115/CP125. Kemenangan ini amat bermakna buat saya kerana ini adalah kali pertama saya menjejak kaki ke atas podium kategori pertengahan,” kata Syafieq yang menduduki tangga ke-19 kategori CP115 tahun lalu dan tangga ke-23 CP115 pada musim 2018.
“Saya lebih selesa dengan kategori CP125 baru ini. Kriteria yang utama ialah peralihan enjin dari karburetor ke ECU. Dengan ECU, saya dan mekanik pasukan kami lebih senang mencari penyelarasan motosikal yang optimum. Oleh itu, saya berasa yakin mampu meneruskan momentum kemenangan ini.”