fbpx

CILIK MOTORSPORT AKTIF MENCUNGKIL BAKAT BARU

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya pasukan Cilik Motorsport begitu aktif mencungkil bakat baru untuk ditampilkan dalam kancah Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS. Berlainan dengan pasukan-pasukan gergasi yang lebih selesa menyerapkan bakat yang muncul dari kategori satu pengeluar (one-make race) ataupun kategori Pro-Am, Cilik Motorsport banyak berusaha mencari pelumba muda berpotensi dari luar bidang pengaruh Cub Prix.

Usaha-usaha ini dijalankan menerusi Kelab Sukan Bermoto Cilik yang ditubuhkan pada tahun 2006 dan diiktiraf oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Aktiviti pencarian bakat yang dianjurkan oleh kelab ini termasuk acara Mini Moto, Kempen Keselamatan di sekolah-sekolah tertentu dan acara Motocross.

Menurut pemilik pasukan dan pengusaha kelab Razali Ahmad, Kelab Sukan Bermoto Cilik banyak memberi peluang kepada yang berminat. “Menerusi kelab ini, kami memberi nasihat untuk mereka yang ingin menjadi pelumba dan langkah untuk masa depan sebagai pelumba.”

Kelab Sukan Bermoto Cilik telah banyak membawakan bakat-bakat terpendam seperti Nasha Edziera yang kini bertukar haluan menjadi  hos dan pengulas sukan permotoran.

Bakat-bakat yang dicungkil menerusi aktiviti kelab akan memulakan karier perlumbaan mereka dalam kategori Wira KBS menerusi pasukan FAR RCB Racing Academy. Tahun ini, pasukan tersebut menampilkan dua pelumba baru Mohd Hamzan Mohd Zamri dan Mohd Faris Amir.

“Itu sistem kami. Kelab Sukan Bermoto Cilik menganjurkan aktiviti-aktiviti rekreasi untuk mencungkil bakat. Bakat yang dikenal pasti akan bermula di kategori Wira. Sekiranya mereka menunjukkan perkembangan yang baik, kami akan juga membawa mereka ke kategori lebih tinggi seperti CP125 mahupun CP150.”

Bagi mereka yang berminat menyertai aktiviti Kelab Sukan Bermoto Cilik, boleh mengikuti perkembangan terbaharu di laman Facebook CilikMotorsport.