Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing kekal tabah menghadapi cabaran yang semakin memuncak di kategori Wira KBS.
Farid tidak asing di kategori Wira KBS dan sepanjang tempoh berlumba, beliau telah memaparkan kemahirannya untuk bersaing dengan hebat di litar teknikal. Tahun lepas, beliau berjaya ke podium untuk pertama kalinya di litar Terengganu.
Pelumba jentera jenis Honda ini juga tidak kurang hebat di Litar Sepang dan baru-baru ini telah mendapat tempat keenam. Ini menempatkan beliau di tangga kelima secara keseluruhan buat masa ini.
Bagi pusingan seterusnya, Farid berkata, “Strategi saya adalah untuk mengunakan pengalaman yang telah diperolehi di Terengganu apabila saya meraih tempat kedua di podium untuk mengukuhkan kedudukan saya.”
“Bagi saya, litar Terengganu agak mencabar kerana banyak “corner” namun begitu, ia adalah suatu kelebihan bagi saya kerana saya suka trek yang mencabar. Saya berharap untuk mengumpul mata sebanyak yang mungkin untuk mencapai sasaran saya pada tahun ini.”
Menurut Azlan Shah bin Saidun Hardi, Ketua mekanik pasukan Idemitsu Honda Yam Racing, “Untuk pusingan ketiga, kami memang ada mengubah “setup” jentera dan ia telah membuahkan hasil. Walaupun kami tidak dapat naik podium, tetapi bagi kami, strategi itu memang berjaya. Kesemua pelumba di kategori ini memang hebat namun, kita akan kekal konsisten untuk buat yang terbaik.”
“Bagi pusingan keempat, kami ada membuat pengubahsuaian lagi tetapi ia tidaklah begitu ketara. Kami masih mempunyai data daripada tahun lepas, jadi kami akan mengikut berdasarkan data tersebut.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook