SANGGUP REDAH RINTANGAN DEMI MINAT

Apabila sudah timbul minat di dalam diri maka semuanya akan menjadi. Bak kata orang sekali jatuh cinta selama-lamanya kita akan terus cinta.

Begitu juga bagi segelintir pelumba tempatan kita yang sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk merealisasikan keinginan mereka untuk sesekali menjejakkan kaki di litar perlumbaan sebenar.

Dalam keadaan yang sukar untuk mendapatkan tajaan, tambah lagi dengan dua tahun negara dilanda COVID-19, Pasukan One Spirit Family Racing, OSFR, masih tidak gagal untuk menampilkan barisan pelumba yang mereka miliki dalam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim 2022 tanpa penaja utama.

Ini semua hanya kerana minat yang mendalam yang ada pada setiap pelumba dan pasukan tersebut.

Pengurus pasukan OSFR, Raja Aszuwan Raja Adnan berkata pasukan yang ditubuhkan pada tahun 2018 itu adalah gabungan pelumba-pelumba dari pelbagai pasukan untuk memudahkan setiap urusan pelumba serta kongsi pandangan dan terutamanya untuk mengurangkan bebanan kos perlumbaan.

Menurutnya “Fokus OSFR adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru untuk diketengahkan dan kami mahu mereka pergi jauh semampu mana yang kami boleh sebagai pasukan dan pelumba termampu lakukan.

“Jika mereka berjaya menampilkan prestasi terbaik dan mereka disunting oleh pasukan-pasukan besar, kekosongan itu kami akan gantikan dengan pelumba baru. Kesimpulannya kami hanya sebagai pemangkin untuk melahirkan pelumba-pelumaba muda dan asah bakat mereka.”

Mengulas berkenaan perbelanjaan dan penajaan, Raja Aszuwan berkata “Soal perbelanjaan memang memerlukan kos yang tinggi tapi bagi kami sebagai pasukan yang kecil kami mengumpul dana dari setiap pasukan yang bergabung dengan OSFR.”

“Sebenarnya kami dalam usaha mencari penaja tetapi masih belum menemui untuk menampung kos perbelanjaan kami.”

“Untuk mengendalikan sebuah pasukan itu memang akan ada dugaan dan itu biasa sebab kami mempunyai kekurangan dari segi kewangan, tapi kami akan cuba yang terbaik untuk berada dalam platform sukan permotoran tanah air demi minat yang ada pada setiap pelumba kami.”

OSFR kini dibarisi empat pelumba iaitu seorang dari kategori CP125, Md Shahzul Naim Razali, dua pelumba dari kategori Wira KBS, Nur Haikal dan Raja Nazreen serta seorang pelumba dari kategori Pro Am Cup, Syafiq Aiman.

Pelumba berusia 23 tahun, Shahzul Naim yang memberi kemenangan kepada pasukan OSFR bagi kategori Pro Am Cup sebagai Juara Musim 2021 dan seterusnya ‘dinaikkan pangkat’ ke kategori CP125 bagi musim 2022 pernah menempuh laluan berliku dengan tiadanya seorang penaja yang stabil.

Berlumba dalam kategori CP125 bukanlah sesuatu yang baru buat Shahzul yang pernah beraksi di pentas Asia, namun nasibnya tak seindah rupa apabila hanya dapat beraksi dalam satu pusingan sahaja.

Shahzul memulakan karier perlumbaan dalam Cub Prix melalui saingan One-Make Challenge pada tahun 2016 dan melebarkan sayap dalam kategori Pro Am Cup pada tahun 2017 sehingga 2019 seterusnya berjaya diserap dalam pasukan untuk beraksi dalam CP150 bagi musim 2020.

“Bagi saya ia satu rekod sebab daripada kategori persendirian saya diserap masuk ke kelas perdana. Di situlah, pasukan-pasukan besar mula memandang ke arah pelumba ‘Privateer’ seperti saya.” jelas Shahzul.

Ekoran prestasi cemerlang yang dipamerkannya di Cub Prix, namanya mula menjadi perhatian para peminat sukan permotoran tempatan.

“Tahun 2020 saya terpilih ke saingan FIM Asia Road Racing Championship, cuma rezeki tidak sampai lagi rasanya, baru dapat merasa satu pusingan di Sepang, negara dilanda pandemik COVID-19, kesemua perlumbaan tertangguh.

“Tahun 2021 saya tidak dapat beraksi sebab COVID dan terus kehilangan tempat. Tetapi, saya tidak putus asa, saya tetap sayang dunia permotoran ini. Saya mula balik dari Pro Am Cup.

“Bila tiada penaja yang stabil, ini kekangan yang kami lalui. Buat masa ini perbelanjaan sendiri dan kami masih lagi mencari penaja,” kongsi pengalaman pelumba asal Kuala Selangor itu.”

Ditanya mengenai sasarannya pada perlumbaan  di Terengganu hujung minggu ini, Shahzul menyatakan “Saya akan beri yang terbaik walaupun agak ketinggalan pada 3 pusingan awal.”

Senada dengan Shahzul seorang lagi pelumba kategori Pro Am dari OSFR yang berusia 20 tahun, Md Shafiq Aiman Badrulkamal Adil sanggup berulang alik dari Pulau Pinang ke setiap venue perlumbaan.

“Saya minat dari kecil lagi sebab ayah selalu bawa saya ke trek di luar. Saya mula berlumba agak lewat juga ketika saya berusia 15 tahun tetapi bukan di litar sebenar. Saya tak jangka saya akan dapat beraksi dalam Cub Prix.

“Buat masa ini ayah dan pasukan OSFR yang membantu dari segi perbelanjaan. Setiap kali ada Saingan, kami kena keluarkan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 ribu termasuk perjalanan dan penginapan. Enjin kami guna seadanya.” “Bagi musim ini saya nak dapatkan pendedahan dulu kalau menang itu bonus. Saya akan cuba yang terbaik pada pusingan seterusnya. Saya target untuk beraksi dalam kategori CP125 dan CP150, jadi, saya harap akan dapat menarik perhatian pasukan-pasukan besar akhir musim ini,” jelasnya.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook