Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor meraih kemenangan di Litar Permotoran Terengganu bagi kategori CP150, pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Kasma yang telah memulakan perlumbaan di grid ketiga selepas mencatatkan masa 48.944s di sesi “Superpole” telah menampilkan strategi yang mantap dalam perlumbaannya di litar tersebut. Sepanjang perlumbaan, Kasma telah mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dan keatas walaupun di cabar oleh pelumba-pelumba yang lain.
Kemahirannya terserlah apabila beliau mengekalkan momentumnya sepanjang tujuh belas lap sebelum mengorak langkah ke kedudukan kedua. Kasma tidak putus asa dan meneruskan perjuangannya untuk menguasai perlumbaan tersebut. Persaingan kategori CP150 bertambah hebat pada lap terakhir di antara Kasma dan Nazirul, rakan sepasukannya yang menduduki tempat pertama pada ketika itu.
Pada selekoh terakhir, Kasma menyambar peluang untuk mengambil alih tempat Nazirul dan berjaya menguasai perlumbaan tersebut.
Kasma menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 16:30.494s.
Menurut Kasma, “Bagi saya, litar ini tidak begitu teknikal. Saya hanya mengekalkan momentum saya sepanjang perlumbaan agar kekal di tempat ketiga teratas.”
“Pada lap terakhir, saya mendapat peluang untuk menguasai tempat pertama dan terus mengambilnya.”
Tempat kedua jatuh ke tangan Nazirul Izzat Md Bahauddin dengan catatan masa 16:30.915.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba Terengganu, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 16:30.943.
Aksi Perlumbaan Akhir CP150
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook