fbpx

APA KURANGNYA KAUM HAWA JIKA DIBANDING KAUM ADAM


‘MOTOVLOGGER’ KE LITAR PERLUMBAAN SEBENAR

Jika dahulu pembabitan kaum hawa dalam sukan permotoran hanya terbatas sebagai ‘penyeri’ litar, namun kini mereka mengorak langkah menunjukkan bakat di lapangan atau belakang tabir.

Mahupun jentera dua roda atau empat roda penglibatan kaum hawa semakin meningkat.

Begitu juga dalam arena PETRONAS Malaysia Cub Prix, penubuhan sebuah pasukan yang boleh dianggap sebagai sejarah baharu dalam kejuaraan berprestij itu apabila ia dikendali sepenuhnya oleh seorang Wanita berusia 25 tahun.

Mungkin ia wajar dicatatkan sebagai rekod baharu selaku WANITA TERMUDA PERTAMA yang memiliki pasukan sendiri pada kejuaraan yang sering didominasi kaum lelaki itu.

Namanya, Nur Atikah Azwar yang lebih dikenali Ika @ Pink Helmet Rider.

Minat yang mendalam terhadap sukan permotoran dua roda membuatkan Nur Atikah Azwar menyahut cabaran menubuhkan pasukan perlumbaan sendiri yang digelar ‘Pink Racing Team’ yang ditaja oleh Tobaki, satu jenama alat ganti milik syarikat AFTA Motor Sdn Bhd dan kini dikenali sebagai Tobaki Pink Racing Team.

Walaupun kurangnya pendedahan terhadap sukan permotoran ketika zaman remaja, Ika mula menjinak dalam dunia permotoran dengan inisiatif sendiri.

“Ika dari kecil lagi memang minat bab-bab permotoran tetapi penglibatan dalam sukan permotoran agak terhad semasa zaman persekolahan sebab tiada pendedahan yang secukupnya.

“Saya pernah melakukan beberapa siri ‘Solo Ride’ ke seluruh semenanjung dan saya juga mula membuat konten berkenaan jentera dua roda di YouTube milik saya..

“Dan satu hari itu, pada tahun 2019 saya ke Kejuaraan Cub Prix bagi mencari bahan untuk konten YouTube saya. Itu merupakan titik permulaan saya dalam dunia sukan permotoran” jelas Ika.

Menurutnya, dia menggunakan platform YouTube untuk berkongsi minatnya dengan peminat motosikal terutama dalam kalangan wanita

Anak sulung daripada lima beradik ini juga berkemampuan membaiki motosikal. Jadi tidak hairanlah, dia mencabar dirinya untuk bersaing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas pada tahun 2020.

“Bila saya menyatakan keinginan saya untuk memulakan pasukan saya sendiri pada tahun 2021 boleh katakan waktu yang agak singkat, orang menganggap saya gila sebab saya masih muda dan kurang pengalaman.

“Tetapi saya berpegang pada nasihat ‘Chief Mekanik’ saya, Dia kata ‘tiada apa yg kita tak boleh buat, melainkan kita saja yang tak nak buat’.

“Ia merupakan satu langkah yang besar dan juga berisiko tinggi. Ia juga bukan tugas mudah untuk berlumba dikalangan pasukan industri dan pasukan yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun. Bagaimanapun saya tetap tekad dan kini TPRT sedang mengharungi musim kedua Malaysian Cub Prix.

“Misi utama saya sememangnya untuk mempengaruhi lebih ramai wanita di luar sana untuk menceburi sukan permotoran ini. Tiada kurangnya kita sebagai wanita untuk menyerlah dalam sukan yang didominasi lelaki.

“Sebenarnya ramai wanita di luar sana minat untuk menerokai bidang ini cuma kurang pendedahan. Saya harap penglibatan kami dan kewujudan Tobaki Pink Racing Team mampu mempelawa lebih ramai wanita dalam dunia permotoran” katanya Ika dengan nada yang penuh semangat.

TPRT kini mempunyai seorang pelumba remaja wanita berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma Abdullah yang bersaing dalam kategori Wira.

Pasukan itu juga terus memartabatkan golongan wanita dalam sukan permotoran di Malaysia apabila mengetengahkan mekanik wanita sebelum pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia edisi ke-29 membuka tirainya.

Pada masa yang sama, Ika juga menekankan pihaknya memang berhasrat untuk mempengaruhi kaum wanita tetapi mereka tidak meletakkan spesifikasi hanya kepada wanita untuk menyertai pasukannya malah mereka mengamalkan amalan ‘Gender Neutral’.

Kini mereka juga memiliki beberapa pelumba lelaki yang menampilkan prestasi menarik dalam kategori CP125 dan Wira.

Apatah lagi salah seorang pelumbanya, Mohd Harith Farhan Baharin menempah slot di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 dalam kategori ‘TVS One-Make Race’ dibawah pimpinan seorang wanita.

Ia harus diraih!

Bagi Ika, seseorang pelumba itu tidak seharusnya hanya fokus untuk berlumba, sebaliknya dia juga mahu mereka mempelajari segala aspek agar karier dalam sukan permotoran termasuk dan tidak terhenti setakat itu sahaja selepas mereka bersara.

Justeru, pelumba TPRT juga diberi tanggungjawab untuk mengendali pengurusan pasukan tersebut.

Turut menambah, memandangkan pelumba yang mewakili pasukannya masih berada di zaman persekolahan, Ika juga memastikan akademik mereka tidak terjejas kerana minatnya terhadap sukan permotoran.

“Saya akan memantau keputusan penilaian tahunan setiap pelumba. Jika gagal satu subjek mereka tidak dibenarkan untuk berlumba. Saya tidak mahu mereka fokus berlumba sampai mengabaikan pelajaran”.

Ika juga meluahkan hasratnya untuk membuka akademi sukan permotoran kepada adik-adik di luar sana satu hari nanti.

Tanpa menghirau ejekan dan cemuhan, Nur Atikah Azwar sedang membuktikan seorang wanita mampu menyerlah dalam dunia permotoran yang didominasi lelaki dan ‘Tidak Kurangnya Kaum Hawa jika dibandingkan dengan Kaum Adam’.

TPRT kini menduduki tangga ke-6 carta CP125 secara keseluruhan selepas empat pusingan.

Prinsipal Pasukan, Ika mengharapkan prestasi yang lebih baik di pusingan ke-5 yang akan kembali berlangsung di Dataran Seri Jempol, pada 16-17 Julai 2022.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook