fbpx

FAZLI IMPIKAN MEMILIKI PASUKAN SENDIRI


Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham yang kini menghuni tangga kedua keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berharap dapat menebus kesilapan pusingan lepas dan kembali menaiki podium pada perlumbaan pusingan ketujuh di Pasir Gudang, Johor, minggu ini bagi meneruskan misi untuk meraih gelaran ketiganya dalam saingan kelas perdana.

 

Juara dua kali kelas perdana itu berharap dapat menamatkan menamatkan kariernya dengan cemerlang dan pada masa sama sudah mempunyai perancangan untuk memiliki pasukan sendiri jika bersara dari dunia perlumbaan Cub Prix sebagaimana yang dilakukan ramai bekas-bekas pelumba seperti Ahmad Fuad Baharudin, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Yong Yin Hoe, Soong Chee Kieong dan ramai lagi.

Pada usia 34 tahun, pelumba kelahiran Taiping itu telah meraih pelbagai gelaran sepanjang belasan tahun terlibat dalam pelbagai perlumbaan termasuk juara berganda kelas Novis pada tahun 2007 dan 2008 serta juara Underbone Kejuaraan Motosikal Asia FIM pada tahun 2004. Fazli percaya memiliki pasukan sendiri dan melahirkan bakat-bakat muda negara pada satu hari nanti merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan seandainya tidak lagi bergelar pelumba pada satu hari nanti.

“Saya sentiasa memerhatikan bekas-bekas pelumba dengan lebih dekat seperti pengurus pasukan saya, Yong Yin Hoe, Shahrol Yuzy, Ahmad Fuad dan ramai lagi yang rata-ratanya menjadi seorang pengurus dan pemilik pasukan yang berjaya. Satu kepuasan yang berbeza jika berjaya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran setelah sekian lama beraksi di litar,” jelas Fazli.

“Jika sudah sampai masanya untuk bersara, jalan terbaik tentulah dengan menubuhkan pasukan sendiri untuk terus menyumbang dan berada dalam dunia sukan permotoran ini. Dengan cara ini, mungkin saya masih berpeluang untuk berada di atas podium tanpa perlu menyarung sut perlumbaan itu sendiri,” ujar Fazli yang memiliki bengkel motosikal sendiri di bandar kelahirannya, Taiping,

Malah Fazli tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang jgua merupakan juara CP130 musim 2015 bagi merealisasikan impian mereka.

“Kami berharap dapat menubuhkan pasukan sendiri dalam tempoh terdekat, mungkin tahun hadapan atau 2018, namun dengan keadaan ekonomi semasa, bukan mudah untuk mendapatkan penajaan. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sejumlah dana yang diperlukan dan jika berjaya, tentunya langkah permulaan kami dengan beraksi dalam kelas Wira. Selain mengembangkan bakat pelumba muda, pastinya kami akan berusaha untuk terus mengembangkan pasukan kami.

“Sebelum itu, misi saya adalah untuk mendapatkan posisi terbaik pada musim ini. Setelah melakukan kesilapan pada pusingan lepas di Kemaman, saya tidak boleh kehilangan mata berharga lagi. Saya perlu mengatasi Kasma yang dilihat mempunyai banyak kelebihan memandangkan perlumbaan minggu ini berlangsung di negeri kelahirannya.”

Setakat tujuh pusingan musim 2016, Fazli kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 98 mata, 27 mata ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin yang mengumpul 125 mata. Saksikan aksi pelumba-pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 dan 4 September. Masuk percuma.

, ,