fbpx

FUAD OPTIMIS HELMI AKAN TERUS BERI CABARAN


Bekas juara Cub Prix, Ahmad Fuad Baharudin optimis pelumbanya, Mohd Helmi Azman akan terus memberikan cabaran sengit di dalam pemburuan gelaran Wira menjelang aksi pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Gudang, Johor, 3 dan 4 September ini.

Pemilik pasukan IUGB AFB Tech Racing itu percaya dia kini sedang membimbing pelumba yang berpotensi dan mampu menyinar di dalam arena permotoran negara.

Meskipun tidak beraksi pada pusingan pembukaan, pelumba kelahiran Selangor berusia 17 tahun itu mempamer aksi memberangsangkan dengan meraih empat podium bermula pusingan ketiga termasuk dua kemenangan berturut-turut pada pusingan kelima di Teluk Intan, Perak dan  keenam di Kemaman, Terengganu sekaligus menghimpit kedudukan pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Ezzariq.

Helmi kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 103 mata, 30 mata di belakang Shafiq yang mengumpul 133 mata.

Pelumba muda IUGB AFB Tech itu turut mencipta kejayaan di pentas Asia setelah memenangi perlumbaan Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Sentul, bulan lepas.

“Pasukan kami mempunyai pelumba yang dianggap berpotensi ketika ini. Namun saya sentiasa mengingatkan Helmi agar jangan terlalu yakin dan sentiasa berhati-hati. Memandangkan dia masih muda, Helmi perlu sentiasa berkeinginan tinggi, berlatih dan bekerja lebih keras terutama untuk memahami jentera dan kemahiran perlumbaannya,” jelas Fuad.

“Mengenai peluang untuk mengejar gelaran keseluruhan, ia mungkin satu tugas sukar buat Helmi. Shafiq konsisten berada di kedudukan hadapan dalam setiap perlumbaan namun Helmi tidak boleh berputus asa. Masih ada baki tiga pusingan perlumbaan dan peluang masih terbuka buat Helmi.”

Helmi memulakan karier perlumbaan profesional pada tahun 2013 dengan menyertai perlumbaan Super Siri Yamaha 135, siri perlumbaan pembangunan di Kejuaraan Cub Prix dan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan. Pada tahun 2014 dan 2015 Helmi terpilih beraksi di siri kejuaraan Asia Talent Cup dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 keseluruhan sebelum beraksi bersama pasukan IUGB AFB Tech dalam kategori Wira pada tahun ini.

, ,