fbpx

KLINIK CUB PRIX MEDAN PENDEDAHAN KEPADA DUNIA PERLUMBAAN PROFESIONAL


Bersempena program pencarian pelumba satu pengeluar untuk musim 2017, remaja berminat dijemput untuk menghadiri program Klinik Cub Prix dan Keselamatan Jalan Raya yang dikendalikan oleh bekas pelumba GP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang merupakan sebagai sebahagian daripada aktiviti pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 dan 4 September ini.

Program tersebut diadakan secara percuma bertempat di Institul Latihan Perindustrian Pasir Gudang pada 2 September bermula jam 9 pagi bertujuan untuk memberi pendedahan asas kepada peserta yang berminat untuk menceburi dunia perlumbaan.

“Program Klinik Cub Prix ini merupakan satu-satunya program yang diadakan hampir di seluruh negara bersempena dengan berlangsungnya perlumbaan Cub Prix bagi mendekati remaja dan belia yang berminat dengan dunia perlumbaan. Selalunya ia akan dilangsungkan sehari sebelum perlumbaan Cub Prix bermula dan disertai kira-kira 100 hingga 200 peserta yang terdiri dari golongan remaja. Selain pendedahan tentang asas perlumbaan dan pengendalian jentera oleh Shahrol Yuzy, beberapa pelumba handalan negara turut sama-sama berkongsi pengalaman mereka,” jelas pegawai komunikasi Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Muhamad Nazrol Jamaludin.

“Klinik ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mencari bakat atau mendekati mereka yang berminat dengan dunia perlumbaan di seluruh negara. Ramai diantara pelumba berbakat hari ini seperti Zulfahmi Khairuddin pernah menghadiri salah satu program Klinik Cub Prix ini. Boleh dikatakan program ini merupakan antara langkah pertama mereka mendekatkan diri dengan perlumbaan Cub Prix. Selain daripada mendapatkan maklumat melalui media sosial dan laman sesawang rasmi Cub Prix, program ini membuka peluang untuk bertanya dan bersemuka secara terus dengan ikon sukan permotoran negara seperti Shahrol Yuzy.”