Duo ONEXOX TKKR Racing telah menampilkan persembahan hebat pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2022 apabila gandingan pelumba mereka memastikan kemenangan 1-2 dalam perlumbaan kategori CP125. Strategi pasukan ONEXOX TKKR Racing terbukti berkesan apabila Hafiza Rofa dan Shafiq Rasol masing-masing mempamerkan kehandalan mereka sepanjang perlumbaan.
Hafiza yang memenangi dua perlumbaan terakhir di Tangkak musim lalu dilihat berkeyakinan untuk meneruskan momentum kecemerlangan.
“Pusingan kedua di Litar Tangkak dijangka lebih mencabar. Pasukan saya sudah membuat segala persediaan dan pengubahsuaian yang diperlukan ke atas jentera. Berdasarkan data yang kami ada saya yakin kami mampu memberikan saingan sengit dan saya akan cuba untuk menang lagi”, ujar Hafiza yang optimis dengan persiapan mereka.
Bagi rakan sepasukan, Shafiq Rasol pula berkata, “Persaingan pada pusingan pertama telah memberikan saya semangat untuk meningkatkan lagi prestasi saya. Rakan sepasukan saya, Hafiza adalah salah satu sumber motivasi saya untuk terus menigkatkan lagi tunggangan saya.”
“Walaupun kami dari pasukan yang sama, kami tetap akan bersaing kerana ia adalah suatu inspirasi dan dorongan untuk memberikan yang terbaik bagi pasukan kami.”
Duo yang sering bergandingan sebagai rakan sepasukan sejak awal penglibatan mereka di Cub Prix memperlihatkan azam untuk menawan Litar Lumba Tangkak pada saingan CP125 Pusingan 2 yang dijadualkan pada 14 dan 15 Mei nanti.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook