fbpx

PASUKAN WIRA KBS BARU: CASTROL POWER1 RACING

Pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 menyaksikan penyertaan pasukan baru Castrol Power1 Racing dalam kategori bawah-17 tahun, iaitu Wira KBS.

Tampil dengan dua pelumba muda dan berpotensi, Harith Haziq Zamri dan Allan Harris Herman, pasukan baru ini menunjukkan impak serta-merta apabila Harith Haziq menamatkan perlumbaan pusingan pertama di tempat yang ke-3.

Menurut pengurus pasukan Zulkifli Zamzam, “Objektif utama pasukan Castrol Power1 Racing ialah untuk menyediakan satu lagi landasan untuk menyerap bakat-bakat yang timbul dari kategori-kategori satu pengeluar seperti Honda Dash 125 Challenge.”

“Penyertaan pasukan profesional begitu penting dalam kelas Wira KBS. Setiap pasukan baru yang muncul bermakna akan terlatih dua atau tiga lagi pelumba muda yang bakal diserapkan dalam sistem pembangunan bakat. Di samping merancakkan persaingan, pasukan kami juga berhasrat menyumbang tenaga dan membantu dalam usaha melahirkan wira Malaysia masa hadapan.”

Pelumba pasukan, Harith Haziq dan Allan Harris, meskipun hanya berusia 16 tahun, mempunyai pengalaman yang luas. Bakat Harith dikenal pasti sejak beliau menyertai kejuaraan pocket bike. Pelumba berasal dari Felda Jengka ini pernah menyertai kategori Wira KBS pada tahun 2018 bersama SIC Junior Team AFB Tech Racing, menduduki tangga ke-6 keseluruhan. Haziq juga pernah berlumba dalam kategori MSBK250, juga pada tahun 2018. Haziq dihantar ke European Talent Cup (ETC) musim lalu di samping menyertai kategori Asia Production 250 dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2019.

Sementara itu, Allan Harris memulakan karier Cub Prix pada tahun 2017 apabila muncul di tangga ke-7 keseluruhan Yamaha NVX Challenge. Pada musim 2018, Allan kekal di kategori satu pengeluar, menyertai Honda Dash 125 Challenge. Musim lalu, Allan turut menaruh nasib dalam MSBK250 bersama Horizon Racing Team.