fbpx

CKJ RACING TEKAD PERTAHANKAN KECEMERLANGAN

Musim lalu, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing telah membuktikan penguasaan mereka pada kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS apabila menyapu bersih gelaran juara keseluruhan bagi kelas CP150 dan CP115.

Selain itu, mereka turut bergelar juara keseluruhan bagi kategori pelumba menerusi Ahmad Afif Amran (CP150) dan Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dalam kelas CP115.

Tahun ini, misi mereka tetap sama iaitu untuk terus tampil cemerlang dalam usaha  mempertahankan reputasi hebat itu.

Mereka juga sedar bahawa saingan pada musim baharu ini lebih mencabar, namun ia bukan halangan buat pasukan yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu itu untuk memburu kemenangan.

Menurut penolong pengurus pasukan, Muhammad Syafari Saad, sebagai persiapan awal, pihaknya telah mengadakan beberapa siri latihan sebelum ini dan tumpuan lebih terarah terhadap penyediaan serta pelarasan jentera.

“Dua elemen utama di beri perhatian serius iaitu persediaan pelumba serta kerja-kerja terhadap penyediaan jentera.

“Kami mahu pastikan dua elemen ini berada dalam keadaan bersedia bagi menjamin kelancaran menghadapi saingan musim 2020 yang pasti lebih mencabar dan sengit,” jelas Amir.

Begitupun, mereka tetap mengambil sikap berhati-hati kerana pasukan-pasukan lain juga mempunyai misi yang sama untuk menghadapi saingan musim baharu ini.

Katanya, setiap tahun cabaran di Cub Prix adalah berbeza dan pihaknya perlu bijak mengharunginya, lebih-lebih lagi dengan perubahan kelas CP115 kepada CP125, sekali gus menjadi satu cabaran baharu kepada semua pasukan dan pelumba.

Menurutnya lagi, kerja-kerja menyesuaikan diri dengan jentera untuk kategori baharu iaitu CP125 juga menjadi fokus pasukan tersebut dan pelumba pula perlu cepat memahami bagaimana untuk mengendalikannya dengan baik.

“Setakat ini, boleh dikatakan pasukan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi saingan musim 2020 dan berharap barisan pelumba kami dapat menghasilkan keputusan yang baik pada aksi Pusingan 1 di Tangkak nanti,” jelasnya.

Musim ini, Ahmad Afif yang merupakan juara keseluruhan pada musim 2019, tetap menjadi sandaran pasukan CKJ Racing untuk mengetuai cabaran dalam kelas CP150.

Selain Afif, pasukan tersebut turut membariskan Md Aiman Tahiruddin dan Md Idil Fitri Mahadi untuk mengalas cabaran pasukan dalam kelas perdana itu.

Bagi kelas CP125 pula, Ahmad Syukran Aizat Md Yusof terus diberi kepercayaan bersama-sama dua lagi pelumba iaitu Saiful Azhary Muhamad dan Awal Md Al Fikri Yusni.

INFO

Pencapaian CKJ Racing di Cub Prix

Kategori pasukan

2019 – Juara keseluruhan (CP150 dan CP115)

2018 – Naib juara keseluruhan (CP150 dan CP115)

2017 – Naib juara keseluruhan (CP150)

2016 – Naib juara keseluruhan (CP130)

2015 – Juara keseluruhan (CP130)

2014 – Naib juara keseluruhan (CP130)

2013 – Juara keseluruhan (CP115)


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *