KEJUARAAN Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 kembali menemui peminatnya pada 13 dan 14 Mac ini.
Litar Lumba Tangkak di Johor akan menjadi destinasi untuk mementaskan aksi Pusingan 1 kejuaraan motosikal berprestij negara itu.
Litar sepanjang 1.025 kilometer itu memang tidak asing lagi bagi barisan pelumba tempatan, dan sebahagian besar daripada mereka sangat menggemarinya.
Ramai berpendapat, venue tersebut antara yang paling mencabar dan pelumba yang memiliki kemahiran yang tinggi akan mendapati mudah untuk menguasainya.
Ia mempunyai laluan lurus terpanjang sejauh 290 meter serta mempunyai tujuh selekoh kiri dan dua selekoh kanan dengan laluan melawan arah jam.
Tiga selekoh awal di litar berkenaan memerlukan kelajuan jentera dan pelumba yang memiliki kemahiran tersebut pasti mudah untuk menawannya.
Musim lalu, pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran berjaya mencuri tumpuan apabila memenangi perlumbaan kelas CP150 di litar yang cukup mencabar ini.
Dia muncul juara pada aksi Pusingan 3 edisi 2019 itu, namun apabila saingan Pusingan 8 kembali ke litar berkenaan, dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues.
Berdasarkan dua keputusan tersebut, Litar Lumba Tangkak sememangnya menjadi kegemaran Afif, lebih-lebih lagi dengan gaya tunggangannya yang amat sesuai untuk dipamerkan di litar tersebut.
Mampukah pelumba asal Terengganu itu menguasai saingan di Tangkak hujung minggu ini seperti mana yang dibuktikannya pada edisi musim lalu.
Ia persoalan yang sukar untuk dijawab kerana semua pelumba akan tampil dengan semangat serta misi baharu musim ini.
Pelumba-pelumba lain yang kurang menyerlah pada peringkat awal musim 2019 lalu, telah membuktikan kehebatan masing-masing pada penghujung musim dan perkembangan ini pasti menjanjikan persaingan lebih sengit tahun ini.
Antara pelumba yang perlu diberi perhatian musim ini sudah pastinya Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), Md Helmi Azman ( Hi Rev SCK Honda Racing) dan ramai lagi.
Namun, berdasarkan senarai penyertaan awal untuk musim ini, antara nama besar dalam sukan permotoran yang bakal kembali ke Cub Prix termasuk Md Ramdan Rosli yang akan menggalas cabaran pasukan ONEXOXTKKR SAG Team.
Kehadiran Ramdan mungkin akan menyerikan lagi saingan musim ini kerana kehebatannya memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Turut beraksi dalam kelas CP150 tahun ini adalah jaguh kelas Wira musim lalu, Md Zaki Zamri dan pelumba asal Selangor ini bakal menggalas cabaran pasukan AHM Motorsports.
Pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing juga dikatakan bakal mempertaruhakan muka baharu dalam CP150 iaitu Amier Rossi yang sebelum ini bersaing dalam kategori Wira.
Tumpuan untuk saingan di Tangkak sudah pastinya kelas CP125 yang mula diperkenalkan tahun ini bagi menggantikan kelas CP115.
Semua pelumba masih belum biasa mengendalikan jentera CP125 dan keadaan ini bakal menyajikan persaingan sengit di Tangkak nanti.
Sebahagian besar pelumba yang bersaing dalam kelas CP125 adalah barisan pelumba yang beraksi dalam CP115 musim lalu dan sudah pastinya mereka memerlukan sedikit mas auntuk menyesuaikan diri.
Juara keseluruhan kelas Wira musim lalu, Aliff Danial antara muka baharu yang beraksi dalam kelas CP125 dan dia akan membawa cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Maju Motor.
Pelumba berusia 17 tahun itu menganggap ia pengalaman baharu buatnya kerana masih belum terbiasa mengendalikan jentera CP125.
“Saya akan berusaha keras dan akan tampil sebagai ‘rookie’ dalam CP125 ini. Selepas menjalani beberapa sesi latihan, saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan.
“Saya berharap untuk menghasilkan keputusan terbaik pada penampilan pertama dalam CP125 di Tangkak nanti,” jelas Aliff.
Apa pun, musim ini bakal menampilkan ramai muka baharu khususnya dalam kalangan pelumba untuk kategori ‘one-make race’ dan juga kelas Wira.
Justeru, aksi di Tangkak nanti tidak harus dilepaskan kerana ia bakal menyajikan perlumbaan terhebat dan mencabar.
IMBASAN
Berikut adalah barisan pelumba yang muncul juara pusingan pada edisi 2019
Pusingan 1
Venue: Jasin, Melaka (23-24 Mac 2019)
Juara CP150: Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing)
Juara CP115: Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara Wira: Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing)
Pusingan 2
Venue: Batu Kawan, Pulau Pinang (13-14 April 2019)
Juara CP150: Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing)
Juara CP115: Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara Wira: Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)
Pusingan 3
Venue: Tangkak, Johor (3-4 Mei 2019)
Juara CP150: Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing)
Juara CP115: Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara Wira: Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing)
Pusingan 4
Venue: Pontian, Johor (20-21 Julai 2019)
Juara CP150: Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara CP115: Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara Wira: Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing)
Pusingan 5
Venue: Kuala Terengganu (23-24 Ogos 2019)
Juara CP150: Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing)
Juara CP115: Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara Wira: Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)
Pusingan 6
Venue: Teluk Intan, Perak (7-8 September 2019)
Juara CP150: Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara CP115: Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing)
Juara Wira: Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing)
Pusingan 7
Venue: Kangar, Perlis (5-6 Oktober 2019)
Juara CP150: Nazirul Izzat Md Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team)
Juara: CP115: Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara Wira: Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)
Pusingan 8
Venue: Tangkak, Johor (18-19 Oktober 2019)
Juara CP150: Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara CP115: Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara Wira: Md Izzat M Raduan (ONEXOX SAG Team)
Pusingan 9
Venue: Jempol, Negeri Sembilan (16-17 November 2019)
Juara CP150: Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)
Juara CP115: Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing)
Juara Wira: Abdullah Qayyum A Razak (AFB TECH Racing)
Pusingan 10
Venue: Litar Antarabangsa Sepang, Selangor (7-8 Disember 2019)
Juara CP150: Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing)
Juara CP115: Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Juara Wira: Abdullah Qayyum A Razak (AFB TECH Racing)