fbpx
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing lebih memberi penekanan kepada persiapan rapi bagi menghadapi perlumbaan di Tangkak

CKJ RACING FOKUS PERSIAPAN

Langkah kanan pada pusingan pembukaan yang lalu serta rekod cemerlang di Litar Lumba Tangkak tidak meletakkan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing pada kedudukan selesa. Menurut pengurus teknikal pasukan, Mohammad Syafari Saad, mereka masih belum merangka sebarang strategi tetapi lebih memberi penekanan kepada persiapan jentera dan pelumba bagi menghadapi perlumbaan di Tangkak.

“Pasukan kami sedang membuat persiapan rapi bagi jentera-jentera Yamaha kami agar ia bersesuaian dengan litar Tangkak dengan penggunaan “RPM limiter” sebanyak 13,800”, ujar beliau.

Kemasukan Izzat Zaidi yang memperkuatkan barisan pelumba CP150 menampakkan hasil positif apabila mereka mencatat keputusan 1-2 pada perlumbaan Pusingan 1. Selain itu, Aiman Tahiruddin yang telah pulih dari kecederaan pasti akan beraksi pada kemampuan sebenar.

Berdasarkan rekod secara keseluruhan pasukan CKJ Racing merekod 7 podium CP150 sejak 2017 dari keseluruhan tujuh perlumbaan CP150 yang pernah dilangsungkan di Litar Lumba Tangkak. Ahmad Afif Amran pula muncul pelumba CP150 paling banyak memenangi perlumbaan dan melakar podium di litar milik KBS ini dengan lima podium serta tiga kemenangan. 

Selepas memenangi perlumbaan pembuka musim, Afif berkata, “Pencapaian saya pada pusingan pertama adalah suatu motivasi bagi saya untuk meneruskan perjuangan untuk mengekalkan kedudukan yang sama di podium. Walaupun cabaran yang dihadapi setiap kali adalah berlainan, saya berazam untuk buat yang terbaik dalam perlumbaan yang akan datang.”

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Mei nanti bakal menyaksikan samada pasukan ini akan menambah koleksi kejayaan manis di litar sepanjang 1.025 kilometer ini setelah bertungkus lumus membuat persiapan rapi.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook