AKSI HAFIZA MEMANG LUAR BIASA DI KUALA TERENGGANU

Walaupun gagal untuk bergelar juara di negeri kelahirannya, namun kejayaan meraih tempat ketiga pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Permotoran Terengganu semalam membawa erti yang cukup bermakna buat Md Hafiza Rofa.

Sekurang-kurangnya kejayaan menjejak kaki di podium kemenangan memberi sedikit kelegaan buat pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team itu, sekali gus bertindak sebagai hadiah istimewa buat para peminat di negeri kelahirannya.

Malah, dia mengakui sejak beberapa tahun lalu, mereka mendapati amat sukar untuk melakar kemenangan sebagai juara pada saingan di Terengganu meskipun memiliki kelebihan untuk mendapat sokongan moral daripada para peminat mereka.

Walaupun telah cuba melakukan yang terbaik, namun misi untuk tampil dengan status selaku juara tetap gagal untuk direalisasikan.

Justeru, kedudukan tempat ketiga yang diraih pelumba berusia 24 tahun itu semalam, tetap menjadi kebanggaannya kerana ia masih mampu menghadirkan kepuasaan buat para penyokongnya.

Mengulas prestasi yang dipamerkan oleh Hafiza pada aksi Pusingan 4 itu semalam, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dia adalah juara sebenar.

Dia memulakan perlumbaan daripada petak ke-15, namun masih mampu untuk menamatkan saingan 15 lap itu di kedudukan ketiga.

Ketika sesi kelayakan, Hafiza antara pelumba yang berada dalam kelompok hadapan, tetapi dia bersama tiga lagi pelumba lain, tidak disenaraikan untuk sesi Shootout kerana berlaku insiden melibatkan perkara berkaitan teknikal.

Justeru itu, mereka terpaksa memulakan perlumbaan akhir dari barisan belakang.

Ternyata, situasi tersebut tidak menjejaskan fokusnya untuk mengharungi perlumbaan akhir itu dengan rentak yang sangat luar biasa sehingga mampu menamatkannya di kedudukan ketiga.

Ia membuktikan bahawa Hafiza bukan seorang pelumba yang boleh dipandang sebelah mata dan kemampuannya memintas 11 pelumba lain yang berada di hadapannya sudah cukup untuk menceritakan betapa tangkasnya dia ketika berada di gelanggang perlumbaan.

Menyingkap prestasi yang dipamerkan oleh Hafiza musim ini, ia boleh dianggap sebagai tahun kebangkitannya selepas agak tenggelam ketika beraksi dalam kelas CP150 musim lalu.

Setakat ini, dia kekal konsisten untuk menjejak kaki di podium kemenangan selepas muncul tempat ketiga pada aksi pembuka tirai di Sepang diikuti gelaran muncul juara pada saingan Pusingan 3, juga di Sepang.

Nasibnya kurang baik pada saingan Pusingan 2 di Tangkak, Johor apabila gagal menamatkan perlumbaan gara-gara terjatuh.

Dia kini mula mengorak langkah dan mempergunakan sepenuhnya pengalaman yang ada bagi mengembalikan reputasi cemerlang yang pernah dipamerkannya ketika muncul naib juara keseluruhan kelas Wira pada tahun 2011.

Selepas berakhirnya saingan Pusingan 4, Hafiza kini menghuni kedudukan kedua dalam carta keseluruhan dengan mengumpul  57 mata manakala rakan sepasukannya, Md Shafiq Rasol berada di kedudukan teratas dengan 67 mata.