fbpx

AKID TETAP FOKUS KEKALKAN TAHAP KECERGASAN


APA agaknya yang dilakukan oleh barisan pelumba Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS sepanjang menjalani arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid19 ini?

Adakah mereka berada di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti atau meneruskan latihan ringan di kediaman masing-masing.

Apa yang pasti, mereka sudah tentunya tidak sabar untuk turun beraksi selepas berehat lama sejak Disember tahun lalu

Edisi 2020 kejuaraan ini sepatutnya membuka gelanggang di Litar Lumba Tangkak, Johor pada Mac lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi arahan kerajaan yang tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan dianjurkan sepanjang tempoh PKP ini yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Semalam, Kolum 5 Soalan Bersama Pelumba Cub Prix berkesempatan menghubungi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz bagi mengetahui aktiviti hariannya sepanjang menjalani arahan PKP ketika ini.

Akid yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan bagi kategori CP150 pada musim 2019 lalu, tetap memenuhi masa terluangnya dengan menjalani pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kariernya sebagai pelumba.

Kita ikuti apa yang dilakukannya setiap hari sepanjang arahan PKP di seluruh negara ketika ini.

Soalan: Hello Akid, apa khabar?

Akid: Hello, khabar baik dan alhamdulillah sihat.

Sepanjang PKP ni, selalunya bangun pukul berapa dan apa yang dilakukan selepas itu?

Saya bangun awal pagi dan perkara pertama adalah menunaikan solat subuh. Selepas itu, berehat seketika dan bersiap-siap untuk melakukan latihan ringan.

Berapa lama masa yang diambil untuk melakukan latihan ringan dan di mana?

Saya hanya melakukan ‘push-up’ dalam kawasan rumah sahaja. Latihan ini saya lakukan setiap hari selama 20 hingga 30 minit. Ini adalah salah satu cara untuk mengekalkan tahap kecergasan saya. Latihan hanya dilakukan di rumah sahaja kerana kita masih menjalani PKP ketika ini.

Ada tak rebiu balik perlumbaan-perlumbaan yang Akid harungi sebelum ini dan berapa lama masa yang diambil untuk menonton. Adakah menonton menerusi You Tube?

Itu tetap saya lakukan bagi menilai kelemahan-kelemahan yang ada. Mungkin dengan cara sedemikian, saya boleh memperbaiki gaya tunggangan yang lebih baik. Saya meghabiskan masa 20 hingga 30 minit untuk menontonnya semula dan mengikutinya menerusi You Tube.

Apa lagi aktiviti lain yang dilakukan?

Selain itu, saya turut menghabiskan masa untuk main game. Macam-macam game saya layan khususnya yang berkaitan dengan perlumbaan motosikal bagi memenuhi masa terluang.

Adakah anda sudah tidak sabar untuk kembali beraksi?

Itu sudah pasti, tetapi buat masa ini harus bersabar dan mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah sepanjang Covid19 ini. Kita berharap agar keadaan kembali pulih seperti biasa.

Apa nasihat kepada peminat anda?

Saya harap agar mereka sentiasa berada di rumah dan patuh dengan arahan kerajaan.

,