Md Zaqhwan Zaidi memulakan saingan pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2016 dengan cemerlang apabila mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa kategori CP130 yang berlangsung di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, hari ini.
Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu mencatat masa terpantas 48.979s mengatasi pelumba muda yang baru beralih ke kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin yang mencatatkan masa terbaik 49.059s .
Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu bagaimanapun terlebih dahulu mencipta kejutan pada sesi latihan pertama di sebelah pagi apabila mencatat masa terpantas 49.505s. Sementara itu Md Hafiz Nor Azman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) ketiga terpantas dengan masa 49.289s.
Bagi Zaqhwan, dia gembira kerana kembali ke prestasi terbaik sebagaimana ketika bergelar juara keseluruhan pada musim 2014.
“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana tidak berhenti melakukan persiapan sebaik musim lepas tamat. Kerja keras semua membantu saya untuk kembali ke prestasi terbaik pada minggu ini dan saya harap ia akan berterusan pada perlumbaan sebenar nanti,†jelasnya.
Mengulas tentang cabaran pada hari ini, Zaqhwan berkata, “Cuaca begitu panas dan suhu mencecah sehingga ke 40 darjah. Cengkaman tayar tidak begitu baik dengan suhu panas seperti ini, ditambah dengan faktor permukaan jalan. Saya sudah mencuba semaksimum mungkin untuk mencatat masa lebih baik, namun tidak berjaya. Jika mencuba dengan lebih laju, tidak mustahil akan terjatuh,†jelas Zaqhwan yang gagal untuk mengatasi catatan terbaik litar milik Hafiz yang dilakukan pada musim lepas dengan masa 48.322s.