fbpx

ZAQHWAN TAK SABAR KE BATU KAWAN

Selepas cemerlang memenangi Perlumbaan 2 di dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan memulakan musim 2019 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di atas podium, Md Zaqhwan Zaidi kini beredia untuk meneruskan momentum tersebut di Batu Kawan, Pulau Pinang minggu ini.

Keyakinan itu ditambah dengan penampilan positif dalam kelas JSB1000 di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (AJRRC) di Sirkit Motegi, Ahad lepas. Zaqhwan berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan akhhir di kedudukan kesembilan.

Zaqhwan yang beraksi buat musim kedua di kejuaraan tersebut bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA menamatkan saingan Perlumbaan 1 dengan masa keseluruhan 42’41.044 saat.

Katsuyuki Nakasuka dari pasukan Yamaha Factory Racing Team muncul juara dengan masa 41’37.972s manakala Takahashi Takumi (Team HRC) kedua (41’38.801s) dan rakan sepasukan Nakasuka, Nozane Kosuke dengan catatan 41’54.184s.

Perlumbaan 2 pula menyaksikan Zaqhwan menamatkan saingan dengan masa 42’41.130 saat manakala kedudukan podium serupa setelah Katsuyuki Nakasuka sekali lagi muncul juara dengan catatan 41’36.963s manakala Takahashi Takumi kedua, 41’37.076s. Nozane Kosuke dari pasukan ketiga dengan masa 41’48.530s.

“Saya gembira dengan keputusan pada minggu ini,” kata Zaqhwan yang menggunakan jentera Honda CBR1000 RR SP2 itu.

“Berbanding dengan tahun lalu, tahun ini lebih banyak peningkatan daripada segi motosikal dan juga. Perlumbaan. Memang saya memberi tumpuan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik kerana saingan ini sengit dengan hampir semua pelumba depan pernah beraksi dalam saingan Dunia dan dengan jentera ‘Factory Bike’.

“Walaupun mungkin sedikit keletihan dan keadaan tangan saya yang masih belum pulih sepenuhnya, saya jangkakan saingan di Batu Kawan akan menjadi sukar. Namun begitu, saya tetap bersemangat dan yakin dapat menamatkan saingan di kelompok terbaik,” jelas Zaqhwan.