Pasukan ONEXOX TKKR SAG berjaya meraih podium pertama di Kejuaraan Moto2 Eropah setelah pelumbanya, Md Ramdan Rosli menamatkan saingan Perlumbaan 1 di kedudukan ketiga sewaktu pusingan pembukaan di Litar Estoril, Portugal, 7 April lepas.
Ramdan yang bermula dari petak ke-12 menamatkan Perlumbaan 1 yang berlangsung dalam keadaan litar basah dengan catatan 35’37.422 saat di belakang pelumba Finland, Niki Tuuli yang melengkapkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 35’19.449s manakala Edgar Pons Ramon (Sepanyol) berada di tempat kedua, 35’24.904s.
Meskipun gagal mengulangi pencapaian podium, juara CP115 2010 dan pemenang ketiga keseluruhan CP150 2017 itu sekali lagi tampil dengan aksi terbaik apabila menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ketujuh sekaligus membantu untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 25 mata.
Keputusan itu menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR SAG memulakan musim 2019 dengan cemerlang setelah seorang lagi pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman muncul juara Perlumbaan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Mac lepas manakala aksi di dalam saingan Moto2 Kejuaraan Dunia, Remy Gardner meletakkan nama pasukan di atas podium.
Malang bagi Azlan apabila tidak dapat beraksi dalam kedua-dua perlumbaan akhir di Portugal setelah mengalami kecederaan ketika sesi kelayakan.
Sementara itu, saingan pembukaan Kejuaraan CEV Eropah menyaksikan penyertaan lapan pelumba negara dengan juara CP150 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Adam Norrodin turut beraksi dalam kelas Moto2 bersama Ramdan dan Kasma.
Adam yang bermula dari petak ke-11 menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan 36:17.434s manakala Kasma Daniel yang tampil cemerlang setelah menyambar petak ketiga pada sesi kelayakan gagal menamatkan perlumbaan pertama selepas terjatuh pada pusingan ketujuh.
Kasma menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan kesembilan manakala Adam menutup saingan di Estoril dengan penamat di kedudukan ke-15
Mungkin minggu ini giliran pelumba-pelumba ONEXOX TKKR SAG Team untuk meraih podium dalam saingan Cub Prix pula bagi melengkapkan koleksi kemenangan mereka.
Foto :Â ONEXOX TKKR SAG Team
Leave a Reply