Persaingan kategori CP125 untuk Pusingan 5 dan 6 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix sah menjadi milik Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang. Setelah berjaya mencipta kemenangan mengejutkan dalam perlumbaan Pusingan 5, Adib mengulangi persembahan cemerlang itu sehari lagi di perlumbaan Pusingan 6.
Pelumba Yamaha itu memulakan perlumbaan dari petak ke-6. Di hadapan Adib, pertembungan tiga penjuru antara Mohd Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), Mohd Harith Farhan Baharin (Tuneboss Pink Racing), dan Mohd Firdaus Mohd Hamdan (Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team) mencuri tumpuan.
Persaingan sengit antara tiga pelumba tersebut membuka peluang bagi Adib mendekati kelompok utama. Tiba di lap ke-12, Adib sudah mula membayangi Harith Farhan serta Firdaus Hamdan yang masih bergelut merebut tempat pertama.
Pada lap ke-13, apabila Firdaus sedang agresif mencari ruang memintas, Adib membuat serangan kejut dan serentak berjaya memintas kedua-dua pendahulu kejuaraan. Tiba di posisi pertama, Adib mula menjarakkan diri dari kelompok belakang sehingga berjaya memenangi kemenangan keduanya minggu ini dengan catatan masa 13’12.619s.
“Saya bermula agak lambat dan sedikit ketinggalan pada permulaan perlumbaan. Oleh itu, saya terpaksa berkejar dan memintas satu pelumba demi satu pelumba sehingga menemui peluang untuk memimpin perlumbaan. Mujur, peluang itu muncul pada lap ke-13 dan saya amat bersyukur dapat menghadiahkan dua kemenangan ini kepada pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team,” kata Adib.
Di tempat kedua, 0.140 saat di belakang Adib, Mohd Firdaus Mohd Hamdan dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team berjaya meraih keputusan podium kedua minggu ini. Firdaus yang menamatkan perlumbaan Pusingan 5 di tempat ketiga, memperbaiki kedudukannya dalam perlumbaan Pusingan 6 di tempat kedua.
“Jentera saya memang dalam keadaan baik. Dalam perlumbaan (Pusingan 6) tadi, saya cuma fokus mengekalkan rentak perlumbaan sahaja. Saya sudah berusaha untuk mencapai kemenangan. Namun, saya tetap bersyukur berpeluang menaiki podium CP125 sekali lagi,” kata Firdaus.
Mohd Harith Farhan yang menghadapi masalah kepanasan enjin masih sempat menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dengan 13’16.066s.
Dengan dua kemenangan ini, Adib berjaya mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas kategori CP125. Berbekalkan 114 mata kejuaraan, Adib akan melangkah ke pusingan seterusnya dalam keadaan yang selesa. Rakan sepasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 94 mata.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook
Leave a Reply