fbpx

GAME ON! HARITH HAZIQ MEMBUKA KEMBALI BURUAN TAKHTA WIRA KBS

Pemburuan takhta kategori Wira KBS nampaknya bakal berubah selepas Pusingan 5 dan 6 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix

Setelah sekian lama kategori WIRA KBS didominasi pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, pemburuan takhta dalam kategori bawah-18 tahun ini nampaknya bakal berubah selepas Pusingan 5 dan 6 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix Championship berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.

Mohd Harith Haziq Zamri dari pasukan Castrol Power1 Honda Team berjaya mengubah lanskap kejuaraan dan membuka kembali buruan takhta Wira KBS dengan dua kemenangan berturut-turut di litar sepanjang 1.371km itu.

Perlumbaan tiga hari di Terengganu itu merupakan perlumbaan yang amat sempurna bagi Harith. Setelah berjaya melayakkan diri ke petak pertama untuk kedua-dua perlumbaan Pusingan 5 dan 6, Harith bijak menggunakan kelebihan itu untuk menguasai rentak perlumbaan Wira KBS.

Tanpa cabaran yang serius dari pelumba lain, Harith mencatat kemenangan keduanya hari ini dengan catatan masa 10’40.218s.

Tempat kedua bagi Pusingan 6 dimenangi Mohd Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu DFZ Yam Honda Racing dengan catatan masa 10’40.530s.

Pendahulu kejuaraan, Mohd Aqil Danial Nasrul dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing berjaya meragut keputusan podium ke-lima musim ini di tempat ketiga. Aqil kini mendahului kategori Wira KBS dengan 107 mata.

Saingan dalam kategori Wira KBS semakin sengit. Berbekalkan dua kemenangan ini, Harith kini sedang berada di tangga kedua keseluruhan dengan 99 mata.

Danial Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing jatuh ke tangga ketiga keseluruhan dengan 91 mata.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook