fbpx

USAHA RAIYAN MEMBUAHKAN HASIL


Raiyan Khardanee Md Sanusi dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing telah menamatkan perlumbaan akhir pusingan keempat, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dengan nada positif apabila beliau menyambar kemenangan pertama di Litar Sepang Antarabangsa.

Sesi kelayakan yang berlangsung semalam telah melihat pencapaian Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing di kedudukan pertama di grid. Beliau diikuti oleh Farres Putra dari pasukan V-Fiertech Wiramuda Racing di kedudukan kedua dan Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di kedudukan ketiga.

Pada perlumbaan akhir petang tadi, Raiyan yang berada di kedudukan keempat di grid mengambil kesempatan untuk memintas Iqram dan mengambil kedudukan P1 dengan Farres di P2 and Iqram di P3. Pada akhir lap ketiga, ketiga-tiga pelumba ini kelihatan agak kukuh di hadapan dengan jurang yang agak besar dengan pelumba-pelumba di kelompok belakang. Empat lap kemudian, Raiyan masih mempertahankan kedudukan di P1 walaupun Iqram mula membuka langkah dari belakang.

Untuk seketika, Iqram berjaya ke P2 tetapi di akhir lap kelima, Farres berjaya memintas. Berbaki dua lap, Farres dan Iqram mula mengunakan strategi “slip-streaming” untuk memintas Raiyan tetapi hanya Farres berjaya. Dengan satu lap lagi, ketiga-tiga pelumba ini tekad untuk memenangi perlumbaan. Di selekoh terakhir, Iqram berjaya mengambil kedudukan P1 tetapi Farres and Raiyan tidak mahu mengalah. Di saat-saat terakhir sebelum ke garisan penamat, Raiyan yang memang cekap memintas kedua-dua pelumba di hadapan.

Dengan itu, Raiyan menamatkan perlumbaan dengan kemenangan pertamanya bagi musim ini pada 9’54:320s.

Menurut Raiyan, “Terima kasih kepada semua yang telah memberikan saya dorongan. Saya tidak sangka dapat mendahului perlumbaan hari ini. Memang persaingan tadi amat sengit tetapi saya cuba yang terbaik. Mungkin juga ia adalah rezeki saya pada hari ini dan saya amat bersyukur kepada penyediaan jentera yang bagus oleh pasukan saya.”

Tempat kedua di ambil oleh Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 9:54.499s. Tempat ketiga pula menjadi milik Farres Putra Md Fadhil, V- Fiertech Wiramuda Racing pada 9:54.503s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,