Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team menyambut kemenangannya pertama bagi musim ini bagi kategori CP125 di Litar Sepang Antarabangsa pada pusingan keempat, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung lebih awal tadi, Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa terpantas dengan catatan masa 1’20:060s. Walaupun prestasi beliau tidak begitu hebat di sesi kelayakan, yang penting adalah kedudukan di grid yang akan memberikan beliau kelebihan semasa perlumbaan. Beliau diikuti oleh Md Shafiq Ezzariq dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team dengan catatan masa 1’20:323s. Di tempat ketiga di petak grid adalah Md Amirul Ariff Musa dari pasukan SCK Honda Racing Team dengan catatan masa 1’20:486s.
Bermulanya perlumbaan pada petang tadi, Syafiq Rosli tidak membuang masa apabila menuju ke arah kedudukan P1. Namun begitu, Syafiq Ezzariq tidak puas lalu membuka langkah untuk memintas di selekoh pertama. Di akhir lap ketiga, kedudukan Syafiq Ezzariq agak kukuh di P1. Di belakangnya, Fareez and Syafiq Rosli saling menukar ganti kedudukan. Pada akhir lap kelima, Arash membuka langkah dari P4 dan mengunakan kemahirannya untuk memintas Fareez dan Syafiq Rosli.
Pada ketika itu, Syafiq Ezzariq sudahpun jauh di hadapan. Berbaki dua lap lagi, Khairi Ashraf sempat ke P2 dan di P3, Syafiq Rosli cuba mengekalkan momentumnya. Dengan jurang sebanyak 1.480s, Syafiq Ezzariq nampak agak yakin di hadapan. Di lap terakhir, Syafiq Rosli berjaya ke P2 dan membuka jurang dengan pelumba di belakangnya manakala Adam Haikal berjaya ke P3.
Namun begitu, Syafiq Ezzariq dan Syafiq Rosli berjaya mempertahankan kedudukan mereka di P1 dan P2 tetapi Adam Haikal di pintas oleh Aliff Danial lalu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Menurut Syafiq Ezzariq, “Pertama sekali, syukur kepada pasukan saya dan krew. Perlumbaan kali ini, saya memang “target” untuk menang. Strategi saya terbukti berkesan. Saya memang cuba gunakan peluang untuk lari ke hadapan dengan kelebihan yang ada. Saya cuba juga untuk menolong rakan sepasukan saya tetapi hanya selepas beberapa lap saya sedar bahawa sudah ada jurang yang besar. Saya amat bersyukur. Jentera memang dalam keadaan yang sangat bagus.
Syafiq Ezzariq mencatatkan masa terpantas untuk kemenangan pertamanya bagi musim ini pada 11’00:312s.
Di tempat kedua adalah Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 11’00:607s. Rakan sepasukan, Md Aliff Danial Md Asri menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 11’02:516s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook