FARISH PAMER PERSEMBAHAN MEYAKINKAN MENJELANG PERLUMBAAN AKHIR
Pusingan kesepuluh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung hari ini di Stadium Batu Kawan. Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori Wira KBS.
Di sesi latihan bebas tadi, Adib Hareez dan Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing Team mencatatkan masa terpantas dan kedua terpantas dengan catatan masa masing-masing pada 54’576s dan 54’802s. Di tempat ketiga terpantas adalah Aiman Hafis dari pasukan AS25 Honda Racing Team dengan catatan masa terbaiknya pada 55’781s. Di sesi latihan bebas 2 pula, pelumba sepasukan tampil sekali lagi dengan catatan masa terpantas dan kedua terpantas. Tetapi kali ini, Farish mencatatkan masa yang lebih pantas pada 54’416 manakala Adib Hareez mencatatkan 54’898s. Luthfi Shah dari pasukan Brothers 7 Tech Racing mencatatkan masa ketiga terpantas pada 55’207s.
Di sesi kelayakan yang telah berlangsung petang tadi, Farish Iqmal berjaya mencatatkan masa terpantas pada 54’024s. Pada musim lepas, beliau mencatatkan masa 55’302s di litar Batu Kawan. Jelas ternyata, prestasi Farish telah bertambah baik, lebih-lebih lagi dengan kedudukannya di tempat pertama secara keseluruhan buat masa kini yang membuktikan kemahirannya yang hebat sepanjang musim ini.
Menurut Farish, “Saya amat gembira kerana saya dan rakan-rakan sepasukan saya berjaya mengambil kedudukan di barisan hadapan untuk perlumbaan esok. Kami masih belum mencari “setup” terbaik untuk perlumbaan nanti. Masih ada “setup” yang perlu dilakukan. Kami yakin bahawa pasukan kami akan buat yang terbaik untuk menyediakan jentera yang bagus dan kami juga akan buat yang terbaik esok.”
Di tempat kedua terpantas adalah Md Akif Abdullah dengan catatan masa terpantas pada 54’511s.
Adib Hareez pula mengambil tempat ketiga terpantas dengan catatan masa terbaiknya pada 54’643s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook