fbpx

SIAPAKAH YANG AKAN MERAIH TEMPAT KEDUA SECARA KESELURUHAN?


Pusingan kesepuluh, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali ke Stadium Batu Kawan pada hujung minggu ini. Pada pusingan lepas, takhta kejuaraan bagi kategori CP150 telah dinobatkan kepada Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan jumlah sebanyak 166 mata. Siapakah yang bakal menjadi naib juara secara keseluruhan bagi musim 2023?

Buat masa kini, dua pelumba yang masih berpeluang untuk merebut kedudukan kedua adalah Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Racing, masing-masing dengan jumlah sebanyak 139 dan 128 mata secara keseluruhan. Peluang bagi Azroy agak tipis memandangkan perbezaan jumlah mata yang ketara melainkan Azroy memenangi perlumbaan tersebut dan Afif akur di tempat keempat.

Pada musim lepas, Azroy tampil dengan persembahan yang hebat di Batu Kawan apabila beliau meraih kedudukan pertama. Afif yang merupakan juara bertahan musim 2022 “DNF” di litar Batu Kawan. Masing-masing mempunyai kelebihan dan walaupun Azroy mampu memberikan saingan yang hebat di litar tersebut, Afif pula mempunyai sokongan rakan sepasukannya, Akid yang sudah pasti akan membantunya dari segi strategi.

Menurut Afif, “Untuk pusingan yang akan datang, tiada perubahan untuk jentera dari segi enjin ataupun suspension. Kami akan kekalkan seperti biasa. Kelebihan saya adalah rakan sepasukan saya di Batu Kawan. Akid agak mahir di litar tersebut dan beliau dapat sedikit sebanyak membantu saya dari segi strategi. Cuma dari segi kekurangan, mungkin keadaan litar berbeza berbanding dengan musim lepas. Saya akan berbincang lebih di mana kekurangan dan membaiki bersama rakan sepasukan dan juga mekanik saya untuk “fine-tune” lagi jentera saya. Matlamat saya untuk pusingan ke-10 ini seperti biasa adalah untuk memberikan saingan yang bagus dan meningkatkan lagi prestasi saya di setiap perlumbaan. Perlumbaan ini agak mencabar dan bagi saya, semua pelumba akan memberikan saingan yang sengit, lebih-lebih lagi, ini adalah pusingan terakhir. Sudah pasti pelumba-pelumba akan memberikan komitmen sepenuhnya. Mungkin kelebihan mereka adalah dari segi berat badan berbanding dengan saya yang lebih berat. Musim ini, saya menghadapi kesukaran di permulaan, tetapi Syukur, di pertengahan musim sehingga penghujung, prestasi saya semakin bagus.”

Azroy pula berkata, “Dari segi jentera, tiada perubahan tetapi saya yakin dengan keupayaan pasukan saya dalam persediaan yang terbaik untuk pusingan yang akan datang. Bagi saya, litar Batu Kawan tidak susah mahupun senang. Selekoh di litar tersebut agak menarik dan bersesuaian dengan cara tunggangan saya. Maka, mungkin dari aspek itu, saya mempunyai sedikit kelebihan. Setiap kali saya berlumba, saya akan memberikan 110%. Matlamat saya untuk pusingan yang akan datang adalah untuk memenangi perlumbaan tersebut dan berada di kedudukan kedua secara keseluruhan. Bagi saya, setiap pelumba hebat. Mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Saya hanya berikan perhatian pada prestasi saya dan buat terbaik mungkin untuk memberikan saingan yang secukupnya. Musim ini agak mencabar bagi saya. Pelumba di hadapan sentiasa konsisten di podium. Saya telah melakukan sedikit kesilapan dan ia telah membuatkan saya gagal untuk mendapat kejuaraan pada tahun ini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,