Suasana di Stadium Negeri Pulau Pinang dijangka akan meletus dengan sorakan peminat apabila pusingan terakhir Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024 membuka tirai hujung minggu ini. Di tengah kehangatan itu, nama anak jati Pulau Pinang, Md Alaff Hairulnizan, antara yang menjadi perhatian.
Perlumbaan terakhir ini membawa makna besar buat Alaff. Dengan 103 mata, kedudukan mata yang setara dengan pesaing utama, Md Aqid Jumali, menjadikan pusingan ini medan penentuan siapa yang bakal menjulang gelaran juara keseluruhan PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup musim ini. Lebih istimewa, perlumbaan berlangsung di kampung halamannya, memberikan suntikan semangat luar biasa untuk menutup musim ini dengan penuh gemilang.
“Litar di Batu Kawan ini menarik kerana gabungan trek lurus dan selekoh taktikalnya. Ia mencabar, tetapi saya rasa sokongan moral daripada keluarga dan peminat tempatan akan membantu saya kekal fokus,” ujar Alaff.
Persiapan Alaff juga bukan calang-calang. Dari segi fizikal, beliau meningkatkan latihan kecergasan untuk memastikan stamina berada di tahap optimum. “Saya juga melatih mental saya supaya tidak tertekan dengan keadaan,” tambahnya. Pasukannya pula sudah bersedia sepenuhnya. “Kami telah menyediakan jentera terbaik untuk memastikan saya boleh berlumba dengan keyakinan penuh,” katanya.
Namun, Alaff sedar bahawa persaingan bukan hanya dengan Aqid. “Persaingan sangat sengit kerana semua pelumba dalam kategori ini mahu menutup musim dengan kemenangan. Saya perlu berhati-hati dan elakkan kesilapan,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai peluang menjadi juara, Alaff memilih untuk kekal realistik. “Peluang untuk menjadi juara itu besar, tetapi saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya kerana ia hanya akan menambah tekanan. Fokus utama saya adalah memberikan yang terbaik di atas litar. Hasilnya, saya serahkan kepada usaha dan takdir,” katanya penuh yakin.
Adakah Alaff mampu mencipta sejarah di kampung halaman sendiri? Dengan semangat luar biasa dan persiapan rapi, segala-galanya kini terpulang kepada aksi terakhirnya di Stadium Negeri Pulau Pinang. Saksikan detik mendebarkan ini hanya di Stadium Negeri Pulau Pinang hujung minggu ini!