fbpx

IMPIAN AKID, KEMENANGAN SULUNG DI TEMPAT KELAHIRAN SENDIRI

Dengan keterujaan yang membara, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING tidak sabar untuk menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024 di Stadium Negeri Pulau Pinang. Setelah mencatatkan kejayaan meraih podium P2 dan P3 musim ini, Akid kini bertekad untuk menempah kemenangan sulungnya di tanah kelahirannya. Keterujaannya bertambah dengan sokongan penuh daripada keluarga dan peminat setia, yang pastinya menggandakan semangatnya untuk memberikan yang terbaik di Stadium Negeri Pulau Pinang pada pusingan terakhir ini.

Bagi persiapan menjelang pusingan terakhir, Akid mengutamakan latihan kecergasan serta latihan motosikal di litar Unimap Perlis. “Untuk pusingan terakhir ini, saya banyak fokus pada latihan kecergasan selain daripada latihan motosikal di litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis. Saya mahu memastikan tubuh saya sentiasa dalam keadaan terbaik untuk menghadapi perlumbaan yang mencabar,” kata Akid.

Berlumba di negeri kelahiran sendiri memberikan semangat dan keyakinan yang luar biasa bagi Akid. “Saya sangat gembira dan bersemangat tinggi apabila berlumba di tempat sendiri. Rasa lebih dekat dengan peminat dan keluarga yang datang memberi sokongan, pastinya memberi motivasi tambahan untuk beraksi dengan lebih baik,” tambah Akid yang tidak dapat menyembunyikan perasaannya.

Akid juga merasakan bahawa berlumba di Pulau Pinang memberi kelebihan tersendiri. “Sudah tentu ada kelebihan berlumba di Pulau Pinang kerana ramai penyokong, keluarga dan peminat yang akan hadir memberi sokongan. Saya rasa ini memberikan semangat lebih untuk mempamerkan persembahan yang terbaik.”

Dalam musim ini, Akid telah meraih kedudukan P3 dan P2. Walaupun begitu, dia tetap ‘dahaga’ untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi. “Pada saya, apa yang diajar oleh pak cik saya dan abang saya, setiap kali berlumba, saya perlu berusaha untuk menang dan sentiasa memberikan yang terbaik. Itulah pesanan yang saya pegang, dan setiap kali masuk ke dalam litar, saya pastikan saya memberikan yang terbaik,” jelas Akid dengan tegas.

Mengulas mengenai litar di Stadium Negeri Pulau Pinang, Akid berkata, “Litar Batu Kawan ini nampak mudah, tetapi sebenarnya sangat mencabar. Banyak selekoh teknikal yang memerlukan fokus tinggi dan ketepatan yang sangat teliti.”

Bagi pusingan terakhir ini, Akid berharap dapat meraih kemenangan sulungnya untuk musim ini. “Harapan saya untuk pusingan akhir ini adalah untuk meraih kemenangan pertama saya di Batu Kawan, selepas berjaya meraih dua podium P3 dan P2 sebelum ini. Saya ingin memberikan yang terbaik dan membanggakan semua yang hadir memberi sokongan,” kata Akid dengan penuh semangat.