PASUKAN Idemitsu Honda Yuzy Racing tidak pernah kenal erti mengalah.
Meskipun mereka sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga keseluruhan kategori berpasukan bagi kelas CP150 pada edisi 2019 lalu, ia tetap tidak menjejaskan perjuangan mereka bagi menghadapi saingan musim 2020.
Malah mereka terus mengorak langkah untuk tampil selaku pencabar utama di musim baharu ini apabila masih mengekalkan barisan pelumba yang sama.
Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menegaskan, pihaknya tidak melakukan rombakan besar kerana masih yakin dengan barisan pelumba sedia ada.
Menurutnya, para pelumbanya telah memperlihatkan kemampuan luar biasa pada saingan musim lalu dan dia yakin mereka akan tampil lebih hebat tahun ini.
Pasukan yang mempertaruhkan jentera Honda itu sekali lagi menyandarkan harapan kepada empat pelumba untuk saingan musim ini.
Saingan bagi kelas CP150 akan diketuai Azroy Hakeem Anuar, Md Amirul Ariff Musa serta seorang muka baharu, Md Amier Rossi Amidi yang sebelum ini bersaing dalam kategori Wira.
Shahrol Syazras Shahrol Yuzy pula akan menjadi sandaran dalam kelas CP125.
Azroy merupakan naib juara keseluruhan kategori pelumba bagi kelas CP150 musim lalu dan dia ketinggalan 40 mata di belakang juara keseluruhan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing).
Pelumba asal Selangor itu juga telah memperagakan kehebatannya sepanjang musim lalu apabila bergelar juara sebanyak empat kali iaitu di Tangkak, Batu Kawan, Kuala Terengganu serta Sepang.
Pencapaian luar biasa itu telah memberi keyakinan kepada Yuzy bahawa Azroy mampu melonjakkan nama pasukan ke puncak kecemerlangan musim ini.
Namun, seperti biasa, Yuzy tetap memilih untuk merendah diri kerana dia sedar dalam perumbaan seperti ini bermacam halangan boleh berlaku.
“Kami akan tetap memberi cabaran tetapi pada masa yang sama harus bersikap waspada. Dalam perlumbaan macam-macam boleh berlaku dan setiap jentera ayang digunakan tidak semestinya ‘perfect’ sertus peritus.
“Apa yang pasti kami akan tampil seperti biasa walaupun sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi saingan bagi musim 2020.
“Paling utama, pelumba serta jentera kami berada dalam keadaan stabil kerana ia merupakan jaminan untuk meraih kejayaan,” jelas Yuzy.
Ditanya kenapa pasukannya sekadar mempertaruhkan seorang pelumba untuk bersaing dalam kelas CP125, Yuzy menjelaskan bahawa ia merupakan antara strategi pasukan agar dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap cabaran yang bakal dihadapi dalam kelas baharu itu.
Menurutnya, kelas CP125 memang tiada banyak bezanya, tetapi ia memerlukan kerja-kerja pelarasan yang lebih teliti.
Jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan pasukannya akan mempertaruhkan pelumba tambahan untuk bersaing dalam kelas tersebut.
Fokus utama mereka setakat ini adalah untuk menentukan perjuangan mereka pada saingan musim baharu ini berjalan lancar serta konsisten.
Leave a Reply