Kemenangan akhirnya memihak kepada Md Syarifuddin Azman selepas permulaan dari petak pertama yang nyata memberi kelebihan untuk memenangi perlumbaan Yamaha PETRONAS Super Series di Johor minggu ini.
Syarifuddin berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa 10:16.463 saat diikuti Md Aliff Ashraf Tahiruddin yang bermula dari petak kedua dengan masa 10:31.611.
Md Adib Md Asri tamat di tempat ketiga manakala malang bagi pendahulu kejuaraan Md Fadli Shah Reduan yang dikenakan penalti selepas melakukan kesilapan jump start.
Litar basah nyata bukan kelebihan buat Md Aiman Azman apabila beliau hilang kawalan roda hadapan dan terbabas. Walaupun berjaya menyambung cabaran, Aiman terkeluar dari persaingan dengan perlumbaan berbaki dua pusingan lagi.
Dengan Syarifuddin dan Md Alif telah membuka jarak dari awal, persaingan kemudiannya tertumpu ke kedudukan ketiga di antara Md Fadli, Md Arfyq dan Md Adib.
Md Arfyq bagaimanapun terbabas di pusingan keempat namun masih mampu menyambung perjuangannya, sementara Fadli jatuh ke belakang setelah dikenakan penalti.
Persaingan podium terakhir kemudiannya dimenangi Md Adib, dan ini merupakan keputusan terbaiknya setakat ini. Carta kutipan mata masih dikuasai Fadli Shah dengan 125 mata diikuti Md Alif Ashraf dengan 114 mata dan Md Faiz Zekri Sabri ketiga dengan 104 mata.