fbpx

ALIF MENANG DI HALAMAN SENDIRI

Pelumba bernombor 66 Md Alif Tumiran tentunya tidak menyangka bahawa beliau akan menang mudah dalam perlumbaan PETRONAS Sprinta Pro Am Cup di Pasir gudang,  Johor minggu ini. Bermula dari petak pertama, Alif selesa menjarakkan diri dan bersendirian ke garisan penamat. Begitu juga dengan pemenang tempat kedua, Md Amirul Affiq, selesa ke garisan penamat di litar yang semakin mengering berbanding beberapa katgori lain yang berlangsung di litar basah.

Persaingan di litar Pasir Gudang ini  lebih tertumpu kepada dua pelumba iaitu Md Syafiq Nazrul Abdullah (14) dan Md Amirul Affiq (27) yang bermula dari petak kedua dan ketiga.

Tekanan dan persaingan diantara kedua-dua pelumba ini menyaksikan Syafiq berjaya mengekang kemaraan Amirul, namun pelumba bernombor 27, Md Amirul seakan menunggu ke saat akhir sebelum membuka langkah.

Amirul telah menonjolkan kebolehannya dengan memintas Syafiq di dua selekoh terakhir, sekaligus meraih podium di tempat kedua manakala Syafiq terpaksa berpuas hati di tangga ketiga.

Md Aliff Aiman Tumiran menamatkan cabaran dengan jumlah masa 9:16.862 saat manakala Amirul dengan masa 9:19.409 saat dan Syafiq dengan catatan 9:19.599 saat.

Mu’izz Al-Atrash Abd Ghani yang pernah mendahului kedudukan keseluruhan pada satu ketika berada di tempat keempat namun kesilapan percaturan pada pusingan terakhir sekadar membolehkannya tamat di tempat keenam setelah dipintas Md Aqid Jumali dan Md Izrul Huzaimie.

Namun, Mu’izz masih berjaya menempatkan dirinya di tempat ketiga keseluruhan dengan 75 mata, sama mata dengan Aliff yang berada di tempat kedua hasil kemenangan pada hari ini. Walaupun gagal memulakan perlumbaan, Md Zulhilmi Zahid masih menguasai carta kutipan mata dengan 83 mata selepas tujuh pusingan perlumbaan setakat ini.