fbpx

HAIKAL JUARA DI DALAM HUJAN


Md Haikal Syafik Shuhaimi sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila menjuarai litar baharu yang dijalankan di Pasir Gudang, Johor bagi Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS ini.

Cuaca panas yang dialami pada sebelah pagi tidak memberi kelebihan buat para pelumba apabila hujan mula turun sebaik sahaja bendera hitam putih dikibarkan dan memaksa semua pelumba mengharungi perlumbaan dalam cuaca hujan.

Pada peringkat awal, pelumba No 4 Md Sahzul Naim Razali mengetuai kelompok pelumba dengan diekori  Md Haziq Md Hamdan dan Md Hanafi Md Isnaini. Pada satu ketika Md Haikal Syafik nyaris terperangkap di selekoh pertama dalam kesibukan para pelumba mengejar tempat terhadapan.

Keadaan litar yang basah menyebabkan ramai pelumba tersilap percaturan dan nyaris terkeluar dari perlumbaan seperti Md Hazim dan juga Md Ariff Adam. Pendahulu kutipan mata Syairul Yuslie Suhaimi juga nyaris tersasar di lurusan akhir menuju ke pusingan 2.

Pusingan berikutnya menyaksikan kepadatan kumpulan pelumba mula tersebar apabila masing-masing lebih berhati hati. Pada pusingan 3,  Md Sahzul Naim pula mendahului kedudukan diekori Md Haziq dan Md Zaki serta Md Haikal Syafik sambil menyaksikan Md Hazim Rosmaza terkeluar dari perlumbaan setelah terbabas.

Pertembungan pusingan 7 menyaksikan  Md Haziq berjaya memintas Sahzul sebelum dipintas Haikal namun membuka ruang buat Md Zaki memboloskan diri untuk ke tempat kedua.

Pusingan akhir menjadi sengit di antara keempat-empat pelumba namun Haikal berjaya memboloskan diri ke hadapan untuk menamatkan perlumbaan dalam masa 10:34.607s diikuti Md Zaki hanya 0.925 saat di belakang dan Sahzul tepaksa berpuas hati dengan podium pertama di tempat ketiga dengan masa 10:36.157saat.

Syairul Yuslie masih mendahului kutipan mata dengan 135 mata, diikuti Haikal dan Haziq dengan masing masing 120 mata.

, ,