Sementara itu, di kategori CP125, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Syamil Amsyar Md Iffende meraikan kemenangan kedua dalam perlumbaan pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di petak grid pertama selepas beliau mencatatkan masa terpantas pada 45:755s. Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang mencatat 46:073s bermula di petak grid kedua dan Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM di petak ketiga pada 46:240s.
Perlumbaan bermula dengan Syamil mendahului perlumbaan dengan Izam mengekori di belakang diikuti Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM.
Perlumbaan menampilkan aksi kejar-mengejar dan memasuki pusingan 3 Izam berjaya memintas Syamil di P1 dan terus memecut ke hadapan.
Malangnya, Izam yang dalam pemburuan mata kemenangan itu berdepan masalah jentera menyaksikan pencabar kejuaraan itu terpaksa keluar daripada perlumbaan.
Syamil tidak mensia-siakan peluang berharga itu apabila dia berjaya memintas Khairi dan melepasi garisan penamat pada 11’43:733s untuk memenangi perlumbaan sekaligus meningkatkan jurang mata dengan Izam yang mengumpul 98 mata, 36 mata di belakang Syamil.
Khairi raih tempat kedua pada 11’44:814s, manakala rakan sepasukannya, Abdullah Qayyum Abd Razak turut meraikan kedudukan podium pertama di tempat ketiga pada 11’45:410s.
Syamil berkongsi: “Hari ini saya merasakan perlumbaan dalam kategori CP125 sangat mencabar. Saya berusaha untuk mengikuti ‘pace’ Izam, tetapi dia menghadapi masalah dengan jenteranya. Ketika itu, Qayyum pula cuba memintas saya, jadi saya mengikutinya dari belakang. Pada pusingan terakhir, saya terus cuba memintas Qayyum, dan Alhamdulillah, perlumbaan kali ini memihak kepada saya.”