AKID, GELARAN JUARA SEMAKIN HAMPIR

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan berakhir pada petang tadi. Saingan perlumbaan CP150 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mengesahkan kemenangan bagi Pusingan 8 musim ini.

Di sesi “Super-Pole” pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mencatatkan masa terpantas 44:195s sekaligus mengambil kedudukan grid pertama perlumbaan akhir. Di grip kedua adalah rakan sepasuknanya, Ahmad Afif Amran pada 44:389s diikuti Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dengan catatan masa 44:484s di petak ketiga.

Permulaan perlumbaan akhir tadi, Akid dan Afif pantas memecut ke hadapan untuk memimpin kumpulan, diikuti Md Helmi Azman dari SCK HONDA RACING TEAM di P3.

Di P4 dan P5 adalah Kasma dan Md Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR RACING TEAM bersaing untuk kedudukan hadapan. Namun pelanggaran berlaku antara mereka menyebabkan kejatuhan menyaksikan 2 pelumba itu dipintas oleh kumpulan.

Ketika perlumbaan berlangsung, tiga pelumba dalam kumpulan hadapan telah mencipta jarak yang cukup besar iaitu sekurang-kurangnya 10 saat dari kumpulan perlumbaan menyaksikan kedudukan podium dalam genggaman.

Akid memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’49:831s.

Akid berkongsi, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan motor yang sangat baik. Jika kita melihat kedudukan perlumbaan, jelas terdapat banyak peningkatan. Menang bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan usaha dan strategi yang teliti. Kami akan berusaha lebih keras pada pusingan akan datang!”

Afif mengambil tempat kedua dengan catatan masa 14’52:702s.

Di tempat ketiga adalah Helmi pada 14’59:548s untuk meraikan kedudukan podium pertama pada musim ini.