ADIB: HADIAH HARI JADI BUAT BAPA

Sementara itu, perlumbaan kategori Wira KBS yang cukup sengit menyaksikan pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Adib Arsyad Md Hisam memenangi perlumbaan di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan pada pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix.

Kemenangan itu sekaligus merawat duka kegagalan mengadirkan kemenangan di tempat kelahiran Adib di Litar Lumba Tangkak pada pusingan lalu.

Perlumbaan petang ini bermula dengan Md Akif Abdullah dari HONDA KC RACING mengetuai perlumbaan, diekori rapat oleh Adib serta Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.

Pendahulu sering bertukar antara Adib, Farres, dan Akif. Pada pusingan ke-8, Farres yang mengetuai perlumbaan tidak menyedari ancaman yang bakal mengujinya. Pada pusingan ke-10, Farres dipintas oleh Adib. Di belakangnya adalah rakan sepasukan Adib, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam semakin menghampiri.

Akid turut memintas Farres menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING itu ditutup rapat oleh dua pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING sekaligus meraikan 2 kedudukan podium teratas.

Adib memenangi perlumbaan pada 9’30:167s.

Adib berkongsi, “Sejujurnya, saya tidak memikirkan apa-apa, hanya fokus untuk menang. Perlumbaan di Tangkak, tempat kelahiran saya, sebelum ini saya gagal menghabiskannya dan saya berasa cukup kecewa. Semasa perlumbaan kali ini, saya hampir terjatuh, dan itu mengejutkan saya. Namun, saya tetap berusaha mengejar pelumba di hadapan semampu mungkin. Alhamdulillah, saya berjaya meraih kemenangan. Semalam adalah hari jadi bapa saya, dan ini adalah hadiah istimewa untuknya serta untuk pasukan saya.”

Akid mengambil tempat kedua dengan catatan masa 9’30:280s.

Farres akur di tempat ketiga dengan catatan masa 9’30:511s.