Di Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan, Perak hari ini menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Syamil Amsyar Md Iffende muncul terpantas pada sesi kelayakan kategori CP125 B.
Pada sesi latihan 2 Syamil mencatatkan masa terpantas pada 50:428s. Di belakangnya, Md Afizi Supaat dari ONEXOX TKKR RACING TEAM menduduki tempat kedua dengan catatan masa terpantas 50:684s diikuti pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Aliff Danial Md Asri yang mencatat 50:803s.
Manakala pada sesi kelayakan, Syamil mempamerkan peningkatan dengan catatan masa terpantas 50:354s. Afizi turut mengekalkan kedudukannya di tempat kedua pada 50:422s manakala Md Firdaus Md Hamdan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di tempat ketiga pada 50:454s.
Syamil berkata, “Bagi saya, persaingan CP125 cukup sengit. Saya bersyukur pelasaran jentera saya begitu baik sekali, kita dapat melihat perbezaan yang ketara pada sesi kelayakan berbanding dengan sesi latihan 1 dan 2, jadi saya dapat memperbaiki catatan masa untuk sesi kelayakan. Apapun, saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan saya dalam perlumbaan esok.”