Di Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini menyaksikan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kategori CP125 A.
Pada sesi latihan 2, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mencatatkan masa terpantas pada 45:344s. Di tempat kedua adalah Arash Tsunami Kamarudin dari YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS dengan catatan masa terpantas 45:667s diikuti Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang mencatat 45:702s.
Pada sesi kelayakan menyaksikan Syamil mengetuai kumpulan, diikuti Md Irfan Haykhal Amidi dari HONDA KC RACING serta Danial Johan dari ONEXOX TKKR RACING TEAM.
Syamil konsisten sebagai pemimpin kumpulan manakala kedudukan kedua terus bertukar antara pelumba, antaranya, Irfan dan Md Shafiq Ezzariq dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM.
Sesi kelayakan tamat dengan Syamil di tempat pertama dengan catatan masa terpantas 45:272s.
Syamil berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah bekerja keras untuk mengatur pelarasan jentera hari ini, dan hasilnya sangat memuaskan. Saya hanya fokus sepenuhnya untuk mencatatkan masa terbaik dan Alhamdulillah, saya berjaya mencapainya. Walaupun begitu, tugas saya belum selesai. Saya berharap dapat mengekalkan momentum ini dan meraih kemenangan dalam perlumbaan esok.”
Danial menduduki tempat kedua selepas mencatat masa terpantas 45:513s meletakkan Izam di tempat ketiga pada 45:581s.