fbpx

SYAIRUL YUSLIE SUHAIMI JUARA CABARAN HONDA WAVE ALPHA 2016


Litar pusingan 8 di Dataran Sri Jempol, Jempol NS yang sepanjang 1.104km telah menyaksikan Syairul Yuslie Suhaimi menduduki tempat kedua, sekaligus memeterai kejuaraan beliau dalam Cabaran Honda Wave Alpha musim 2016 ini. Berbekalkan jumlah kutipan 180 mata menjelang perlumbaan terakhir di Taiping kelak, beliau kini sah juara Cabaran Honda Wave Alpha musim 2016 kerana sudah berada di luar jangkauan pencabar terdekatnya iaitu Md Haikal Syafik Suhaimi yang sekadar tamat di tempat keenam untuk jumlah mata keseluruhan sebanyak 150 mata.

Pemula petak kedua Md Haziq Md Hamdan menamatkan perlumbaan 10 pusingan tersebut dalam masa 8:51.112saatdengan diikuti Syairul Yuslie 0.125 saat di belakang manakala Md Nazif Nor Samsol ketiga dengan masa 8:51.519 saat.

Pada awalnya perlumbaan dikuasai pelumba petak pertama Md Sahzul Naim Razali yang bermula baik untuk memimpin pelumba lain, dengan diikuti Syairul Yuslie dan Md Haziq. Di awal pusingan kedua Syairul mula membuka langkah untuk mengatasinya dari bahagian dalam bagi mengambil alih penguasaan perlumbaan. Kesempatan itu turut diambil Haziq untuk memintas Sahzul dalam beliau masih berusaha untuk membetulkan rentaknya.

Haziq kemudiannya berjaya memintas Syairul di pusingan ketiga, dan kekal di hadapan hingga ke pusingan kelapan. Kesilapannya telah membolehkan Syairul kembali bolos ke hadapan, yang menyaksikan persaingan sengit di hadapan, dan drama selekoh terakhir bilamana Haziq berjaya memintas Syairul untuk lebih dahulu melintasi garisan penamat.

, ,