fbpx

KEMENANGAN KALI KETIGA SYARIFUDDIN DISERIKAN BERSAMA KEHADIRAN ABANG DI PODIUM


Bermula di petak kedua, Md Syarifuddin Azman tangkas memintas Md Aiman Aziz tatkala lampu merah terpadam, untuk terus memimpin barisan pelumba di Jempol. Kelompok hadapan yang terdiri dari Syarifuddin, Aiman Aziz, Md Alif Ashraf Tahiruddin dan juga Aiman Azman mula mengorak langkah meninggalkan para pelumba lain sebaik memasuki pusingan kedua perlumbaan.

Kelompok ini tidak berubah kedudukan sehinggalah ke pusingan kelapan, dan ketika ini Syarifuddin kini semakin menjarakkan dirinya dengan pelumba lain untuk terus ke garisan penamat. Persaingan sengit semakin terasa untuk kedudukan kedua hingga keenam. Aiman Azman mula mengasak Alif di pusingan akhir dan berjaya memintas sebelum dipintas kembali oleh Alif, dengan Aiman Aziz turut memberikan cabaran. Berlaku perebutan ruang di antara ketiga tiga mereka dalam satu pusingan akhir hebat yang kemudiannya memihak kepada Alif, dan diikuti Aiman Azman.

Md Syarifuddin Azman menamatkan perlumbaan 10 pusingan di Jempol ini dalam masa keseluruhan 8:49.434saat, diikuti Md Alif Ashraf Tahiruddin yang merekodkan masa 8:52.066saat manakala Md Aiman Azman tamat ketiga dengan 8:53.359 saat. Aiman Azmah juga merupakan abang Syarifuddin, dan tentunya kejayaan dua beradik ini di atas podium amat membanggakan keluarga mereka terutama sekali ayah mereka yang telah menitiskan air mata kegembiraan.

Persaingan di Taiping akan menjadi penentu yang menarik, memandangkan perebutan tempat juara kini dalam jangkauan empat pendahulu teratas, dengan perbezaan mata kini begitu hampir di antara mereka. syarifudin kini mengumpul 146 mata di tangga teratas, diikuti Md Fadli Shah Redzuan dan Md Faiz Zek Sabri kedua duanya dengan 135 mata, dan Md Alif Ashraf Tahiruddin hanya satu mata di belakang mereka.

, ,