Syafiq Rosli juara sulung CP125 ingin sekali lagi mencabar kejuaraan apabila kekal berlumba dalam kategori berkenaan. Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu sedar kehadiran beberapa muka baru dalam kategori itu bakal menambah lagi saingan namun beliau tetap optimis untuk sekali lagi merebut takhta kejuaraan.
Syafiq yang bermula cemerlang pada awal musim apabila memenangi perlumbaan pusingan pembukaan kemudian dilihat bergelut untuk menjejakkan kaki ke podium pada 3 perlumbaan selepas itu.
Beliau hanya berjaya ke podium di Kuala Terengganu pada Pusingan 5 dan kemudian kembali mencari rentak sebelum bangkit pada dua pusingan terakhir untuk mengumpul 145 mata untuk berada di tempat kedua keseluruhan.
Belajar dari pengalaman musim lalu, Syafiq terus optimis untuk merangkul kejuaraan. Syafiq berkata, “Tahun ini memang dijangka akan lebih mencabar ditambah lagi dengan kehadiran pelumba-pelumba Wira KBS yang dinaikkan ke kategori CP125. Walau bagaimanapun itu tidak meluntur semangat saya untuk meraih gelaran juara keseluruhan pada musim ini.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook