fbpx

BAKAT BAHARU WARNAI WIRA KBS

Ramai bakat baru bakal mengisi grid perlumbaan Wira KBS yang dicungkil dari program perlumbaan satu pengeluar

Kehadiran ramai muka baharu bakal mengisi grid perlumbaan Wira KBS musim ini dan kebanyakan daripada mereka adalah bakat baru yang dicungkil dari program perlumbaan satu pengeluar yang disokong pihak Honda dan Yamaha. Program tersebut berjaya menyediakan bakat muda ini untuk bersaing dalam kelas yang lebih mencabar seperti Wira KBS.

Selain pelumba baharu, kemunculan AS25 Academy Racing Team yang mempertaruhkan dua pelumba ‘rookie’ dalam kelas Wira KBS juga mencuri perhatian. Pasukan yang dikendalikan bekas Juara Asia, Azlan Shah Kamaruzaman dijangka menambah lagi kemeriahan saingan. Ini merupakan kemunculan pertama pasukan itu yang baru dibimbing bekas Juara Asia itu pada tahun lalu.

Kategori Wira yang telah wujud selama dua dekad ini ternyata telah menjadi platform melahirkan pelumba negara yang mampu bersaing di pentas antarabangsa seperti Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi, Syarifuddin Azman dan ramai lagi. Kategori yang telah diperkenalkan pada tahun 2002 itu kini akan terus melahirkan bakat-bakat baharu untuk mengibar Jalur Gemilang di persada antarabangsa.

Mereka akan memulakan saingan apabila Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan dilangsungkan di Litar Sepang (Utara) pada 12-13 Mac nanti. Orang ramai yang telah mendapat vaksinasi lengkap dijemput hadir menyaksikan perlumbaan tersebut dan masuk adalah percuma.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook