Semangat dan harapan tinggi menyelubungi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli menjelang Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Teluk Intan, Perak. Tahun ini merupakan tahun pertama Syafiq beraksi dalam kategori CP150, dengan matlamat yang jelas untuk menunjukkan prestasi terbaiknya di pentas yang semakin mencabar ini.
“Persiapan saya untuk Pusingan 4 ini sama seperti sebelumnya, di mana konsistensi dalam latihan adalah kunci utama,” ujar Syafiq dengan yakin. “Saya terus menjalankan rutin latihan yang telah terbukti memberi hasil positif dalam meningkatkan kecekapan dan ketahanan.”
Syafiq berkongsi, “Setakat ini, segalanya berjalan lancar dalam persiapan saya. Namun, saya menyedari bahawa perlu lebih banyak latihan untuk bersiap sedia menghadapi saingan yang semakin sengit.”
Khusus untuk kategori CP150, Syafiq tidak dapat menyembunyikan keghairahannya. “Saya cukup suka dengan persaingan di CP150 kerana terdapat lebih daripada 20 pelumba yang sangat berpengalaman dan berpotensi tinggi. Ini adalah ujian sebenar bagi saya untuk membuktikan nilai saya di kalangan mereka yang hebat.”
Syafiq yang akan berlumba di negeri kelahirannya menegaskan, “Perlumbaan di Teluk Intan memberi saya semangat tambahan. Saya berasa teruja dan bertekad untuk memberikan yang terbaik buat kali ini. Fokus saya sepenuhnya terhadap perlumbaan ini dan saya akan memastikan untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua penyokong.”
Syafiq juga tidak lupa mengutarakan harapannya, “Target saya adalah untuk berada di atas podium, dan saya berharap berlumba di tempat lahir saya mendatangkan tuah untuk mencatat kemenangan pertama saya dalam kategori ini. Saya yakin dengan usaha keras dan berserah kepada Allah, segalanya mungkin terjadi.”