fbpx

SHAFIQ HARAP NASIB TAMBAH BAIK DI TELUK INTAN


Kehadiran dengan gelaran juara keseluruhan kategori CP125, ternyata tidak cukup untuk cemerlang di kategori baru.

Inilah cabaran yang pelumba ONEXOX TKKR RACING TEAM, Md Shafiq Rasol sedang hadapi selepas menyertai kategori CP150 pada 2023.

Shafiq akui masih bergelut menyaingi pelumba-pelumba berpengalaman tinggi dalam usahanya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

Shafiq berkata, “⁠Ya. Saya masih bergelut dalam CP150 ini. Bagi saya kategori CP150 bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang banyak pengalaman berbanding di CP125, masih ada banyak perkara yang perlu saya perbaiki dan menguasai dengan baik”

Bukan itu sahaja, Shafiq juga kurang bernasib baik pada musim ini apabila gagal mengumpul sebarang mata dalam 3 pusingan yang lalu, termasuk pusingan 3 di mana Shafiq menamatkan saingan dengan keputusan DNF (Did Not Finish).

Bagi Shafiq, perlumbaan di pusingan akan datang di Teluk Intan juga tidak mudah namun dia tidak berhenti mencari peluang untuk keputusan baik dalam setiap kesempatan.

“Bagi saya, trek di Teluk Intan agak sedikit teknikal di mana ada selekoh U-turn dan laluan lurus yang agak panjang sedikit. Apapun target saya untuk Pusingan 4 pada minggu ni semestinya saya nak duduk di kelompok 10 terbaik dan kalau boleh menaiki podium itu bonus bagi saya dan pasukan.”

Shafiq juga berkongsi perancangannya, “Saya perlu fokus dan cepat serasi dengan keadaan litar dan juga motor saya pada hari pertama di sesi latihan 1 dan sesi kelayakan nanti untuk mendapatkan petak di baris depan untuk perlumbaan final nanti.”

, ,