fbpx
Azroy mengakui Litar Permotoran Terengganu merupakan salah satu litar kegemaran beliau namun tidak mahu terleka dengan reputasi tersebut

SAYA TAK BOLEH LEKA – AZROY

Nama Azroy Hakeem Anuar pastinya menjadi sebutan apabila saingan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia bertandang ke Litar Permotoran Terengganu. Azroy yang memegang rekod masa terpantas litar ini dengan mencatat masa 49.062s mengakui litar sepanjang 1.371 kilometer ini merupakan salah satu litar kegemaran beliau namun tidak mahu terleka dengan keputusan yang pernah beliau capai di sini.

Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team yang telah mencatat kemenangan dua tahun berturut-turut di litar ini enggan mendabik dada apabila ditanya tentang misi beliau untuk melakar kemenangan hatrik di Terengganu pada tahun ini. Beliau memaklumkan telah melipat ganda latihan menjelang Pusingan 5 dan 6 nanti dan tidak memandang mudah saingan pelumba lain.

Beliau yang kini memimpin senarai keseluruhan saingan CP150 setelah memenangi perlumbaan Pusingan 3 di Litar Sepang Utara 2 minggu lalu. Nasib malang pada perlumbaan pembukaan tidak mematahkan semangat beliau untuk bangkit melangkah kaki ke podium di kedudukan kedua pada Pusingan 2. Beliau kini yang mengumpul 58 mata, beza 13 mata mendahului pencabar terdekat tidak mahu merasa selesa dengan kududukan terkini itu malah terus menjalani latihan rapi sebagai persiapan.

“Setakat ni saya sedang menjalani persiapan yang sangat rapi untuk menghadapi saingan di Terengganu. Boleh dikatakan Litar Permotoran Terengganu adalah salah satu litar kegemaran saya tapi saya tak boleh leka dan akan memberikan usaha 100% untuk menghadapi pusingan kali ini.” ulas Azroy.

Anak didik Shahrol Yuzy ini dilihat terus cekal memburu kejuaraan yang hampir digapainya pada tahun lalu. Dua tahun berturut-turut bersaing sengit merebut kejuaraan dan berakhir sebagai naib juara tidak mematahkan semangat Azroy dan pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team melipat gandakan usaha pada tahun ini untuk mengulangi sejarah seperti yang pernah dipahat pasukan itu sebagai juara kelas premier bersama Zaqhwan Zaidi pada musim 2014.

Pusingan 5 dan 6 pastinya menjanjikan pertembungan mendebarkan pada 1 hingga 3 Oktober nanti di Litar Permotoran Terengganu. Walaupun kehadiran penonton masih belum dibenarkan namun para peminat boleh menonton siaran langsung di Facebook Malaysian Cub Prix dan berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal dan pelbagai hadiah menarik pada setiap pusingan melalui peraduan ’Siapa Punya Motor?’

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook