fbpx
Duo Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Fareez Afeez Abd Rahman dan Adib Rosley kini mendominasi kategori CP125 setelah selesai 4 pusingan

DUO YY PANG TEKAD KEKAL DOMINASI CP125

Duo Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Fareez Afeez Abd Rahman dan Adib Rosley kini mendominasi kategori CP125 setelah selesai 4 pusingan. Masing-masing yang mengumpul 74 dan 64 mata mendahului senarai kedudukan pelumba kategori tersebut. Kedua-dua mereka telah menghadiahkan 5 podium dan 2 kemenangan meletakkan pasukan mereka selesa mendahului kedudukan pasukan dengan 138 mata dengan jurang 37 mata dengan pencabar terdekat.

Fareez yang melakar kemenangan pada Pusingan 4 setelah dua kali menamatkan perlumbaan di tempat kedua ketika saingan Pusingan 1 dan 3 dilihat masih tidak mahu terlalu memikirkan untuk mengejar takhta kejuaraan.

“Saya meneruskan persiapan seperti biasa dan misi saya pada setiap perlumbaan hanya untuk mengumpul sebanyak mungkin mata pada setiap perlumbaan untuk pasukan. Saya tidak terlalu menumpukan kepada perebutan kejuaraan CP125 lagi buat masa ini. Saya akan cuba mengekalkan rentak konsisten pada setiap perlumbaan dan jika rezeki berpihak kepada saya, pada beberapa pusingan terakhir baru saya akan merancang strategi yang lebih rapi untuk cuba merangkul kejuaraan”, ulas Fareez bersahaja ketika ditanya persiapan untuk minggu ini.

Ketinggalan 10 mata di belakang rakan sepasukan, Adib masih menganggap peluang masih terbuka dan beliau akan cuba bersaing secara sihat untuk mencabar kedudukan Fareez.

“Saya sedia untuk bersaing merebut kejuaraan keseluruhan dan saya menjangkakan saingan sengit di Kuala Terengganu hujung minggu ini. Walaupun saya dan Fareez merupakan rakan sepasukan namun kami akan tetap bersaing secara sihat ketika dalam perlumbaan. Saya juga tidak lupa pencabar-pencabar lain yang pastinya akan cuba mengatasi kami. Insyaallah saya akan cuba untuk mendapatkan podium untuk pasukan saya pada perlumbaan kali ini”, jelas Adib yang telah mengumpul 2 podium dan satu kemenangan.

Ramai yang menjangkakan saingan sengit akan diberikan pencabar lain terhadap duo YY Pang ini apabila Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia akan bertandang ke Litar Permotoran Terengganu pada 1 hingga 3 Oktober nanti untuk saingan Pusingan 5 dan 6 setelah empat pusingan berentap di Litar Sepang.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook