SEREMBAN, 13 Julai – Sesi pemilihan untuk saingan Mini Cub Prix 2019 mendapat sambutan luar biasa apabila sejumlah 21 peserta tampil menyahut cabaran di Litar Pocket Bike Seremban 2, Negeri Sembilan hari ini.
Program tersebut yang mula diperkenalkan tahun lalu merupakan program pembangunan peringkat akar umbi bagi mengesan bakat baharu dalam sukan pemotoran yang potensi mereka akan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Ia adalah projek akar umbi yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama promoter sukan pemotoran terunggul negara, Safe Aim Mutual.
Program mengesan bakat baharu ini wajar diperhebatkan bagi mencari barisan pelapis berwibawa, lebih-lebih lagi selepas beberapa pelumba negara kini sudah melangkah jauh dalam karier mereka sehingga ke peringkat MotoGP.
Mini Cub Prix ini yang dikhususkan kepada pelumba berusia 12 hingga 13 tahun serta bercita-cita untuk menjadikan sukan pemotoran sebagai karier mereka, merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pelumba hebat pada masa akan datang.
Hari ini, sesi pemilihan telah mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan pemotoran di seluruh Semenanjung yang terdiri daripada para peserta dari Terengganu, Johor, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan juga Melaka.
Ini membuktikan bahawa masa depan sukan pemotoran negara tidak akan ‘sepi’ ekoran sambutan yang sangat menggalakkan itu.
Sokongan daripada ibu bapa para peserta wajar dipuji kerana mereka turut tampil untuk menemani anak-anak mereka menghadiri sesi pemilihan tersebut.
Begitupun hanya 14 peserta terbaik akan dipilih dan ditawarkan slot untuk bersaing dalam kejuaraan Mini Cub Prix 2019 yang akan membuka tirainya di Sepang pada 27 Julai nanti.
Lebih menarik, sesi pemilihan hari ini turut menyaksikan penyertaan seorang peserta perempuan, Hijjaz Nur Kasih Mohd. Zaki dari Kajang, Selangor.
Walaupun dia pernah terpilih pada edisi pertama tahun lalu, namun dia masih belum mahu mengalah dan sekali lagi tampil untuk menjalani proses pemilihan tahun ini.
Pada usia yang masih 13 tahun, merupakan antara faktor yang mendorong Hijjaz untuk terus mempamerkan bakatnya dalam usaha untuk mencapai impian bergelar sebagai pelumba.
Menurutnya, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai jika memiliki keyakinan serta kemahuan yang tinggi untuk pergi lebih jauh dalam sukan yang didomanisi oleh kaum lelaki itu.
Turut mencuba nasib pada sesi pemilihan tersebut adalah anak bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid iaitu Muhammad Loqman Nur Hakim.
Bagi Loqman, dia berazam mahu meneruskan legasi bapanya yang suatu ketika dahulu pernah mengecapi kejayaan dalam sukan pemotoran tempatan terutamanya Cub Prix.
“Saya mendapat dorongan daripada bapa saya untuk menghadiri sesi pemilihan ini dan sokongan yang tidak berbelah bahagi itu telah memberi semangat kepada saya untuk mencubanya.
“Ini merupakan kali pertama buat saya merasai saingan menggunakan mini bike dan keseronokan itu tetap ada.
“Saya juga mempunyai sedikit pengetahuan mengenai sukan pemotoran dan atas sebab itu saya berani menyahut cabaran walaupun tidak mempunyai pengalaman berlumba,†jelas Loqman.
Sesi pemilihan tersebut dikendalikan oleh beberapa pakar sukan pemotoran tempatan termasuk dua pakar dari Jepun.
Kriteria pemilihan tertumpu kepada kecekapan mengawal jentera, memahami ciri-ciri keselamatan serta peraturan asas yang dituntut dalam sukan pemotoran.
Enam peserta terbaik daripada saingan Mini Cub Prix 2019 bakal menerima biasiswa untuk kelas KBS Junior dan mereka akan mendapat slot bersaing dalam One Make Race pada kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas bagi musim 2020 nanti.
Dua peserta teratas bakal menerima pembiyaaan seratus peratus dibawah program biasiswa KBS Junior manakala peserta yang menduduki tempat ketiga dan keempat menerima pembiayaan 50 peratus serta 30 peratus untuk peserta yang menghuni tangga kelima dan keenam keseluruhan.
Biasiswa tersebut adalah untuk pembiayaan yuran penyertaan dalam kelas One Make Race tahun berikutnya.
Senarai 14 peserta yang terpilih daripada sesi pemilihan hari ini bakal diumumkan minggu depan.
Kejuaraan Mini Cub Prix bagi musim 2019 akan dilangsungkan dalam empat pusingan dengan Litar Antarabangsa Sepang bakal menjadi gelanggang untuk Pusingan 1 pada 27 Julai nanti.
Pusingan 2 akan diadakan di Kuala Terenggau pada 24 Ogos diikut Pusingan 3 (14-15 September) di Bandar Penawar, Johor manakala Pusingan 4 (7 Disember) akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang.