Mohd Adib Rosley boleh dikatakan pelumba paling setia dengan pasukan Motul Yamaha YYPang Racing Team.
Mana tidaknya, sejak menceburkan diri dalam sukan pemotoran ketika berusia 13 tahun, dia sudah menjadi tonggak pasukan tersebut dalam kejuaraan tempatan khususnya Cub Prix.
Selepas bergelumang dengan sukan tersebut sejak 12 tahun lalu, Adib yang kini sudah berusia 25 tahun, masih menjadi kepercayaan YY Pang untuk menggalas cabaran pasukan berkenaan sama ada di peringkat nasional mahupun Asia.
Keserasian dengan pasukan yang disertainya sejak 12 tahun lalu itu amat terserlah sehingga enggan memikirkan untuk menyertai pasukan lain seperti mana yang sering dilakukan oleh beberapa pelumba senior negara.
Bagi Adib, dia berhasrat untuk terus menabur bakti dengan sifunya itu, YY Pang sebagai membalas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya selama ini.
Menurutnya, walaupun prestasinya sering ‘turun naik’ dalam setiap kejuaraan yang disertainya, namun kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan pasukan tetap utuh, malah mereka sentiasa berbincang bagi mencari penyelesaian terhadap prestasi jentera mahupun pelumba.
“Saya boleh katakan keserasian kami bersama pasukan ini boleh dianggap sangat mantap. Suasana dalam pasukan sudah macam satu keluarga.
“Selain itu, kebajikan kami sejak menyertai pasukan YY Pang memang sentiasa diberi keutamaan. Jika ada sebarang masalah yang timbul, ia akan diselesaikan dengan cara baik.
“Keharmonian dalam pasukan itu sentiasa wujud dan kami sebagai pelumba berasa seronok dan terus bekerja keras dari semasa ke semasa untuk melakukan yang terbaik,†jelas Adib.
Menurut pelumba asal Selangor itu lagi, kelebihan YY Pang adalah dia memahami apa yang dilalui oleh para pelumbanya kerana dia juga pernah merasai ‘asam garam’ sebagai pelumba sebelum membentuk pasukan sendiri.
Adib yang bersaing dalam kelas CP115 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019, kini menghuni tangga kedua dalam carta keseluruhan selepas mengumpul 41 mata, perbezaan 20 mata dengan pendahulu keseluruhan, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff yang menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.
Dua lagi rakan sepasukan Adib yang bersaing dalam kelas CP115 adalah Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Khairi Asyraf Mahmood yang masing-masing menghuni kedudukan ketiga dan keempat dalam carta keseluruhan.
Pada saingan musim ini, Adib sudah dua kali menjejak kaki di podium kemenangan.
Walaupun nasibnya kurang baik pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka namun dia bangkit garang pada Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Dia terus bangkit gagah pada aksi di Tangkak, Johor (Pusingan 3) apabila muncul juara, menewaskan pencabar terdekatnya, Ahmad Syukran yang juga pendahulu keseluruhan ketika ini.
Menurut Adib, saingan Cub Prix masih ada tujuh pusingan lagi untuk diharungi dan dia perlu kekal konsisten dan terus mengutip mata dalam setiap perlumbaan bagi mengukuhkan posisinya dalam kedudukan keseluruhan.
Fokusnya kini adalah untuk menghadapi saingan Pusingan 4 yang akan berlangsung di Pontian, Johor pada 20-21 Julai ini.
Sepanjang kariernya, Adib pernah muncul juara keseluruhan kategori Wira pada musim 2010.
INFO
Prestasi Adib bagi musim 2019:
Pusingan 1 di Jasin Melaka (23-24 Mac)
Gagal menamatkan perlumbaan (DNF)
Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang (13-14 April)
Tempat ketiga
Pusingan 3 di Tangkak, Johor (3-4 Mei)
Juara