fbpx

SAINGAN MAKIN MENCABAR TIDAK HALANG AKID BANGKIT

Saingan CP150 semakin mencabar dan sengit, namun itu tidak memadam semangat Akid Aziz untuk melangkah ke podium pada 3 pusingan terakhir

Kehadiran pelumba-pelumba terbaik negara di grid CP150 berserta peraturan baharu menjadikan saingan CP150 semakin mencabar dan sengit, namun itu tidak memadam semangat pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Akid Aziz untuk melangkah ke podium pada 3 pusingan terakhir yang lalu.

Akid yang berpindah ke pasukan baharu musim ini dilihat seakan tercari-cari rentak pada awal musim dan hanya berada di kedudukan ke-14 selepas 3 pusingan pertama. Tanpa siapa menyangka, Akid tiba-tiba mencipta kejutan dengan memenangi perlumbaan Pusingan 4 dan terus mempamerkan prestasi terbaik apabila mendominasi sesi kelayakan dan podium berganda pada Pusingan 5 dan 6. Keputusan tersebut terus melonjakkan beliau ke tempat ketiga keseluruhan saingan CP150.

Pelumba yang dikenali dengan sifat pendiam itu menganggap kesukaran mencari pelarasan jentera musim ini sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi. 

“Persaingan CP150 semakin sengit. Perlumbaan CP150 semakin mencabar dan semakin sukar untuk mencari pelarasan jentera yang baik bagi setiap perlumbaan apabila peraturan limitasi RPM diperkenalkan. Namun saya anggap ia sebagai satu cabaran yang akan dirasai oleh setiap pelumba.” kata bekas Juara CP115 musim 2016 itu.

“Persediaan mental dan fizikal amat penting untuk perlumbaan di Tangkak nanti jadi saya melakukan latihan menggunakan jentera dan dalam masa yang sama saya juga tetap melakukan latihan kecergasan,” tambah beliau lagi memberitahu tentang persiapan menghadapi perlumbaan hujung minggu ini.

Berdasarkan rekod, Akid memenangi perlumbaan terakhir di Litar Lumba Tangkak musim lalu. Pastinya beliau akan cuba mempertahankan kemenangan tersebut apabila Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia Pusingan 7 dan 8 akan dilangsungkan pada 5-7 November di litar tersebut.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook