fbpx
Pendahulu keseluruhan CP125, Adib Rosley bersedia untuk mengharungi saingan Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini

ADIB SEDIA PERTAHAN KEDUDUKAN DI TANGKAK

Pendahulu keseluruhan CP125, Adib Rosley bersedia untuk mengharungi saingan Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini.

Walaupun menyedari saingan dalam kelas tersebut semakin mencabar dengan semakin ramai pelumba sering bersaing di kelompok hadapan Adib tetap meletakkan harapan mengutip mata maksimum buat pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang kini mendahului carta keseluruhan pasukan CP125 dengan mengumpul 208, 60 mata meninggalkan pencabar terdekat.

 “Saya sudah bersedia untuk perlumbaan di Tangkak nanti dan semestinya saya akan buat yang terbaik untuk pasukan bagi mencari kemenangan bagi dua perlumbaan tersebut. Persaingan CP125 dah semakin sengit, ramai pelumba kini berada di kelompok hadapan pada setiap perlumbaan jadi kalau boleh saya mesti sekurang-kurangnya mendapatkan podium atau lima tempat teratas,” ulas Adib.

Beliau yang kini 20 mata mendahului rakan sepasukan, Fareez Afeez Abd Rahman sudah mula merancang untuk mempertahankan kedudukan sekaligus mengintai peluang untuk merangkul takhta kejuaraan CP125 musim ini.

“Selepas Tangkak kita hanya berbaki dua pusingan jadi saya akan cuba untuk mempertahankan kedudukan saya dengan mengumpul sebanyak mungkin mata dari setiap perlumbaan,” jelas beliau apabila ditanya tentang misi peribadi musim ini.

Adib yang melakar 3 kemengan dari 4 podium yang diraih dilihat menggunakan kelebihan pengalaman yang dimiliki bagi menghadapi saingan pelumba.

Adib bakal dicabar pesaing-pesaing lain dalam kelas CP125 apabila Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia kembali bertandang ke Litar Lumba Tangkak bagi saingan Pusingan 7 dan 8 pada 5-7 November nanti.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook