fbpx

REZEKI BERTUNANG


KASMA DANIEL MERAIH PODIUM PERTAMA BAGI MUSIM 2022

“Dia seorang yang sangat memahami saya dan memudahkan hidup saya”

Itu merupakan ungkapan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin terhadap tunangnya, yang juga merupakan anak kepada pemilik pasukan CKJ Racing Team.

Jika mahu mengulas mengenai kehidupan seorang pelumba yang mempunyai rutin harian yang agak padat dengan latihan dan persiapan ke kejohanan sudah tentunya persoalan bagaimana mereka mampu menjalani kehidupan yang seimbang akan muncul terutamanya luangkan masa bersama orang yang tersayang.

Terang lagi bersuluh, sesiapa yang terlibat dalam arena sukan tanpa mengira sukan pemotoran atau sukan lain, mereka tidak akan dapat memenuhi kesemua permintaan atau keinginan pasangannya disebabkan kekangan masa.

Tetapi, jika seseorang itu dikurniakan dengan pasangan yang memahami, perkahwinan tidak akan menjadi penghalang bagi malah ia akan menjadi pencetus semangat untuk berada pada prestasi terbaik dalam bidang sukan masing-masing.

Begitu juga buat pelumba Malaysian Cub Prix, Kasma Daniel, apabila rezekinya mengetuk pintu dengan kehadiran seorang wanita yang bukan asing dalam arena sukan permotoran. Walaupun tunangnya, tidak terlibat secara langsung dalam sukan permotoran tetapi menjadi anak kepada pemilik pasukan perlumbaan membolehkan beliau lebih memahami rutin harian Kasma sekaligus memberi sokongan yang tidak terhingga dalam perkembangan kariernya.

“Saya memang mecari seorang pasangan yang memahami saya sebab kehidupan seorang pelumba memang sentiasa sibuk. Bukan dengan hal lain tetapi dengan latihan dan persiapan. Kekadang telefon pun tidak boleh dipegang.

“Tetapi, Alhamdulilah, saya bersyukur dia sangat memahami saya. Kiranya dia pun berada dalam dunia saya. Dia sentiasa memberi sokongan kepada saya. Bermula daripada zaman berkenalan sampai sekarang. Masa saya beraksi di Kejohanan Dunia dulu dia yang selalu menemani saya terutamanya ketika saya kurang semangat.” jelas bekas pelumba Moto2 itu.

Bagi seseorang pelumba, kekuatan mental adalah sesuatu yang mustahak agar pemikiran mereka tidak terganggu selain sentiasa tenang supaya mereka mudah fokus terhadap jentera dan perlumbaan ketika mengharungi mana-mana kejohanan.

Mengulas lagi kepentingan adanya pasangan yang memahami, Kasma berkata “ Ketika berlumba kami sebagai pelumba tidak boleh fikirkan masalah lain, sebab kami kena fokus berlumba, pengendalian jentera dan kami kena bagi serratus peritus dalam setiap perlumbaan.

“Jadi kami kena jaga kesihatan mental kami. Jika ada masalah rumah tangga disebabkan tiada persefahaman ia sudah tentunya akan menganggu emosi kami. Jika mereka memahami ia akan memudahkan kerja kami.”

Kasma Daniel selamat bertunang dengan gadis pilihannya yang kelahiran negeri Terengganu, Che Ku Ayuni, Mei lalu.

Nasib tidak menyebelahi Kasma pada tiga pusingan awal Petronas Malaysian Cub Prix musim 2022, pusingan ke-4 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, menghadirkan tuah buat pelumba kelahiran Johor itu apabila meraih kemenangan sulung bagi musim ini.

Pada saingan tersebut, Kasma yang bermula di petak ketiga memecut di selekoh terakhir untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 16 minit 30.494s.

Katanya “Pusingan 1, 2 dan 3 memang prestasi sangat tidak baik. Kedudukan berada pada belasan dan lepas pusingan ke-4 saya dah dapat naik ke 10 teratas dan berada di tangga ke-8.

“Bagi saya, mungkin musim ini saya agak lambat nak kejar mata tetapi saya akan usaha lagi dan kita akan tengok nanti. Setiap kali perlumbaan saya tidak pernah ada sasaran. Saya cuma akan menikmati perlumbaan sebab tidak mahu beri tekanan kepada diri saya.”

Menjelang saingan seterusnya di Dataran Seri Jempol, Kasma menyifatkan ia sebagai litar kegemaran apabila berjaya menaiki podium sejak 2015 kecuali pada tahun 2017 kerana gagal mengakhiri perlumbaan.

Pelumba berusia 22 itu juga menekankan tiada strategi tertentu bagi perlumbaan pada trek tersebut malah mahu menamatkan perlumbaanya dengan keputusan yang baik. Pusingan kelima yang kembali berlangsung di Dataran Seri Jempol dijadualkan pada 16 dan 17 Julai ini.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook